Peruntukan khas boleh atasi isu lambakan durian di Perak

Razman (kiri) sedang memeriksa beberapa bantuan berupa ayam, labu manis dan limau yang akan diserahkan pada Penyerahan Sumbangan Keperluan Dapur Secara Pandu Lalu kepada penduduk di tiga buah kampung di Alor Setanggok, Gunung Semanggol dekat Bagan Serai pada Jumaat. - Foto Bernama
Razman (kiri) sedang memeriksa beberapa bantuan berupa ayam, labu manis dan limau yang akan diserahkan pada Penyerahan Sumbangan Keperluan Dapur Secara Pandu Lalu kepada penduduk di tiga buah kampung di Alor Setanggok, Gunung Semanggol dekat Bagan Serai pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Peruntukan khas kepada agensi untuk membeli buah-buahan secara terus dari pekebun antara inisiatif kerajaan negeri dalam mengatasi masalah lambakan buah durian kelak, kata Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria.

Beliau berkata, itu antara hasil perbincangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian bagi membantu para pekebun daripada terus mengalami kerugian.

Menurutnya, buah-buahan seperti durian yang telah dibeli itu akan dipasarkan secara kekal di beberapa kawasan seperti di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Manjung dan Kuala Kangsar untuk memudahkan pelanggan dalam situasi menang-menang kesemua pihak terlibat.

“Kita mahu membantu pekebun dengan membuat jualan secara terus kepada pelanggan jika berlaku lambakan buah durian pada musim ini untuk mengelak pekebun mengalami kerugian.

“Beberapa kawasan seperti di Batu Kurau dan Selama, musim buah durian mula gugur sejak seminggu lalu dan akan bertambah dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk di tiga buah kampung di Alor Setanggok, Kampung Tua dan Tebuk Matau, di sini pada Jumaat.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, kebanyakan pekebun dan pemborong tidak dapat memasarkan buah durian kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di samping pasar malam dan pasar pagi juga masih tidak beroperasi.

Selain itu, pihaknya juga akan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengedar buah-buahan kepada penduduk yang terkesan dengan Covid-19 bagi mengurangkan beban yang dihadapi mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: