‘Jerlun Best’ iktiraf produk tempatan berkualiti

Tunku Puteri Intan Safinaz (kiri) dan Mukhriz (dua, kiri) bersiap sedia memulakan Fun Ride, sejauh 32 kilometer.
Tunku Puteri Intan Safinaz (kiri) dan Mukhriz (dua, kiri) bersiap sedia memulakan Fun Ride, sejauh 32 kilometer.
A
A
A

JERLUN - Jenama ‘Jerlun Best’ diperkenalkan bagi mengiktiraf produk berkualiti yang dihasilkan di daerah itu untuk dipasarkan sama ada dalam mahupun luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemilihan produk yang dilabel bawah jenama itu dilakukan secara teliti agar kualiti produk dapat menyaingi pasaran luar.

Menurutnya, usaha ini akan dilakukan secara berterusan dalam mengangkat martabat produk keluaran tempatan.

“Jerlun Best ini baharu sahaja diperkenalkan, kita lihat terdapat banyak produk tempatan dihasilkan, cuma perlu pilih yang terbaik dan capai kriteria. Produk yang belum menepati kriteria, digalakkan meningkatkan mutu produk agar produk mereka juga dapat menggunakan logo berkenaan,” katanya, selepas merasmikan Karnival Explorasi Antarabangsa Kubang Pasu di Dataran Sungai Korok, semalam.

Mukhriz berkata, sebelum ini, Kedah pernah memperkenalkan jenama ‘Kedah Agro Best’ yang dipasarkan di ibu negara.

“Jenama itu menonjolkan produk organik yang berkhasiat tinggi namun harganya berpatutan, kemungkinan selepas ini kita boleh hidupkan semula jenama ini dalam pasaran,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap lebih ramai usahawan tempatan mengetengahkan produk lebih menarik untuk dinilai bawah jenama ‘Jerlun Best’.

Terdahulu, Mukhriz bersama Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim berbasikal sejauh 32 kilometer dalam acara Fun Ride, menjelajah daerah itu sambil menikmati keindahan alam semula jadi antaranya sawah padi, yang mampu dijadikan tarikan baharu di Jerlun.

Artikel Berkaitan: