X

Kindly register in order to view this article
!

Hentikan perdagangan haram untuk tarik pelaburan asing

Chris Humphrey
A
A

KUALA LUMPUR – Pelan Pemulihan Negara dalam memerangi Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas menandakan harapan tipis bagi rakyat Malaysia untuk kembali kepada keadaan tahap normal yang wajar dan negara kini harus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan terus asing (FDI) yang besar ke dalam negara.

Untuk mencapai matlamat itu, Majlis Perniagaan EU-ASEAN percaya bahawa pendekatan pelbagai serampang mata antara industri, pemegang saham dan kerajaan adalah penting untuk membanteras perdagangan haram di ASEAN yang mengaut keuntungan daripada pandemik Covid-19.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) menganggarkan bahawa lebih US$2.2 trilion (RM9.06 trilion), iaitu kira-kira 3 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, telah lesap akibat ketirisan perdagangan haram pada 2020.

Di Malaysia, perdagangan haram yang juga dikenali sebagai ekonomi gelap dianggarkan bernilai kira-kira RM300 bilion, iaitu sebanyak 21 peratus daripada KDNK negara ini.

Pandemik Covid-19 ini telah mengakibatkan peningkatkan aktiviti perdagangan haram di keseluruhan industri-industri.

Ia juga memberikan peluang besar kepada pedagang barangan haram untuk menggunakan saluran e-dagang dan sekali gus, memintas prosedur kastam dengan mengeksploit rantaian pembekalan.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Chris Humphrey berkata, pelanggan yang secara sedar mengetahui membeli produk haram lazimnya didorong oleh harga lebih murah berbanding barangan tulen.

“Tentulah keaddan ini semakin memburukkan semasa pandemik ini. Aktiviti ekonomi yang sah tewas kepada tahap perdagangan haram yang tinggi. Akibatnya, ia menjadi satu daripada faktor yang akan menjejaskan prospek FDI di negara ini.

"Syarikat-syarikat tidak akan ada insentif untuk melabur di negara yang kegiatan perdagangan haram berleluasa dan merosak teruk tanda dagang pemilik jenama,” kata Humphrey dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Humphrey menjelaskan bahawa pendekatan pelbagai serampang mata diperlukan untuk secara efektif menangani pelbagai faktor yang mempengaruhi dinamik perdagangan haram di Malaysia.

"Penguatkuasaan adalah satu daripada alat yang diguna di dalam langkah-langkah tindakan dan kita mengalu-alukan keputusan Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan beberapa langkah penguatkuasaan di dalam Belanjawan 2021 yang memberikan isyarat positif kepada pelabur asing.

"Sebagai sebuah industri, syarikat-syarikat Eropah juga telah menyokong pembinaan kapasiti dan perkongsian maklumat perisikan dengan pihak penguatkuasa undang-undang dan terus bersedia untuk terus menjalin kolaborasi dan kerjasama dengan kerajaan terutama Pasukan Petugas Pelbagai Agensi mengenai alkohol dan rokok seludup.

"Kerajaan dan peneraju industri harus bekerjasama lebih erat bagi membendung perdagangan haram. Wujud peluang untuk mengukuhkan kolaborasi sektor awam-swasta, sesuatu yang Majlis Perniagaan EY-ASEAN telah usahakan di seluruh rantau ASEAN,” saran Humprey.

Humphrey menambah, perbezaan semasa antara kecenderungan pengguna dengan harga produk seluduk di Malaysia memberikan peluang kepada kerajaan untuk mengkaji semula polisi-polisi semasanya mengenai fiskal dan percukaian sebagai sebahagian daripada kaedah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan.

Cukai eksais ke atas rokok di Malaysia adalah satu kes contoh.

Menurut kajian Oxford Economics bertajuk The Economics of Illicit Tobacco Trade in Malaysia, cukai eksais telah berganda daripada RM220 setiap 1,000 batang rokok pada 2012 menjadi RM400 setiap 1,000 batang rokok pada 2018.

Selain itu, Kerajaan Malaysia turut menguatkuasakan harga minimum RM12 sekotak.

"Kami memerhati bahawa terdapat dinamik yang konsisten di rantau ini antara tahap perdagangan haram yang tinggi dan kadar cukai tinggi dengan kesan yang tidak disengajakan ke atas pengguna dan penjual yang mungkin terpaksa beralih kepada produk haram,” jelas beliau.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), alkohol seludup mewakili kira-kira 40 peratus jumlah keseluruhan penggunaan di Malaysia (2018).

Sementara itu, Kajian Rokok Seludup 2020 melaporkan bahawa rokok seludup mewakili kira-kira 63.8 peratus.

Humphrey menegaskan bahawa kesemua itu merujuk kepada kehilangan hasil cukai bagi kerajaan dan memberi kesan ke atas Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang berdaya maju bagi pelabur asing.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!