Perak wartakan Kampung Dew habitat kelip-kelip

Kar Hing pada (lima, kanan) karnival berkenaan.
A
A

IPOH – Kerajaan negeri dalam peringkat akhir bagi proses mewartakan kawasan hidupan kelip-kelip di Kampung Dew sebagai zon habitat kelip-kelip bagi kawasan berkenaan.

Exco Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing berkata, segala proses bagi tujuan pewartaan berkenaan sedang berjalan dan ia akan dikemukakan kepada pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) kelak.

Malah menurut Kar Hing, pihaknya sedang menunggu proses teknikal untuk kawasan berkenaan diwartakan.

“Kita dalam proses akhir bagi mewartakan kawasan hidupan kelip-kelip di Kampung Dew sebagai sebagai zon habitat kelip-kelip

“Saya juga telah membuat semakan dengan pihak pejabat dan tanah berkaitan dan mendapati sememangnya sebahagian besar kawasan berkenaan telah diwartakan.

“Pada ketika ini kerja-kerja melibatkan ukuran kawasan dan sebagainya di sepanjang sungai di situ sedang giat dijalankan. Bagaimanapun, saya tidak dapat memastikan mengenai keluasan kawasan yang telah diwartakan,” katanya pada sidang media setelah menyempurnakan perasmian karnival pelancongan anjuran Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Perak di Pasaraya Ipoh Parade, semalam.

Kar Hing berkata demikian berhubung pencerobohan kawasan habitat kelip-kelip di kawasan berkenaan manakala tujuh pokok berembang di situ telah ditebang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, ujar Kar Hing, beliau berjanji akan melaksanakan proses tersebut secepat mungkin.

Sementara itu Kar Hing berkata, pihaknya akan mengikuti siri akhir bagi simulasi perjalanan menggunakan perkhidmatan bas persiaran dua tingkat, atau dikenali sebagai Bas Hop On Hop Off (HOHO), hari ini.

Katanya, proses simulasi berkenaan bakal melalui 12 lokasi hentian di sekitar bandaraya Ipoh seperti Terminal Bas Amanjaya, Mahkamah Tinggi Ipoh, Masjid Panglima Kinta, Gerbang Malam, Ipoh Parade, dan kawasan pekan lama Ipoh.

“Sekarang semua sudah bersedia termasuk bas tersebut sudah melepasi ujian pemeriksaan kenderaan. Oleh itu, sebelum bas itu muncul dengan wajah baharu, kita akan buat simulasi terakhir hari ini.

“Kita akan laksanakan pada waktu puncak di mana ia akan menguji perjalanan pada waktu trafik dalam keadaan sibuk,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia