X

Kindly register in order to view this article
!

Suami mengaku lemaskan isteri hingga mati

Gambar fail menunjukkan Babis Anagnostopoulos dan isterinya, Caroline Crouch. - Foto Instagram/flying.babis
A
A

ATHENS - Seorang juruterbang akhirnya mengaku kepada polis pada Khamis bahawa dia membunuh isterinya yang merupakan warga United Kingdom (UK) dengan melemaskan wanita itu dengan bantal di rumah pasangan tersebut di Glyka Nera, Athens.

Juruterbang helikopter berketurunan Greece, Babis Anagnostopoulos, 32, membuat pengakuan itu selepas dia mereka-reka cerita bahawa isterinya dibunuh semasa satu rompakan berlaku di rumah mereka pada bulan lalu.

Menurut AFP, wanita yang dikenali sebagai Caroline Crouch, 20, yang berketurunan British ditemui mati pada 11 Mei lalu di atas katil bersebelahan dengan bayi perempuan mereka berumur 11 bulan.

Anagnostopoulos pernah memberitahu polis bahawa tiga lelaki memecah masuk ke rumah mereka sebelum mengikat tangan pasangan tersebut dan membunuh isterinya serta melarikan wang tunai sebanyak 15,000 euro (RM74,022) dan barang-barang berharga.

Dia juga membuat kenyataan bahawa seekor anjing pasangan tersebut dibunuh oleh kumpulan tiga lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, pihak polis yang melakukan siasatan tidak menemui sebarang bukti bahawa terdapat sekumpulan lelaki telah melakukan jenayah itu, lapor media Greece baru-baru ini.

Polis turut menawarkan ganjaran sebanyak 300,000 euro (RM1.4 juta) untuk sebarang maklumat yang diberikan berhubung pelaku-pelaku jenayah berkenaan.

Menurut polis, pengakuan itu dibuat selepas Anagnostopoulos diiringi oleh anggota-anggota polis kembali ke Athens dengan menggunakan sebuah helikopter untuk memberikan keterangan tambahan selepas dia menghadiri majlis peringatan kematian isterinya di Pulau Alonissos.

Si suami itu memberitahu polis dalam satu keterangan terbaharunya bahawa pada malam kejadian, berlaku pergaduhan dan isterinya telah meminta dia untuk meninggalkan rumah.

Anagnostopoulos berkata, dia berasa marah dan kemudiannya melemaskan isterinya dengan menggunakan bantal sebelum mereka-reka cerita tentang kejadian rompakan itu.

Juruterbang itu kini ditahan polis sebelum dia didakwa membunuh isterinya dalam tempoh terdekat. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!