Sepakat buat upah haji untuk arwah ayah

Muhammad Nur Faris menerima cek bernilai RM1,000 daripada Solihan.
A
A

LABIS - “Kami adik-beradik cadang nak guna wang takaful untuk upah haji arwah ayah memandangkan dia pernah suarakan hasrat nak ke tanah suci buat kali kedua,” demikian luahan anak kepada Allahyarham Nordin Masdar yang merupakan penerima Skim Takaful Warga Emas.

Muhammad Nur Faris, 29, berkata, dia dan lima adik-beradiknya sepakat memanfaatkan skim bernilai RM1,000 itu setelah arwah bapa mereka meninggal dunia pada 16 Januari lalu.

Menurutnya, hajat arwah untuk menunaikan ibadah haji tidak kesampaian apabila mulai diserang strok sejak 2012.

“Dahulu ketika arwah ayah sihat, dia pernah pergi ke tanah suci mengerjakan ibadah umrah seorang diri setelah ibu meninggal dunia pada 2008.

“Ketika itu, kami adik-beradik masih ingat yang ayah cakap suatu hari nanti dia nak buat haji pula. Namun, ia memerlukan tempoh masa sebab nak kena buat pelbagai persediaan, kumpul wang simpanan dan tunggu giliran,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah orang tuanya di Kampung Bukit Mambai, di sini.

Muhammad Nur Faris berkata, bagaimanapun, hajat itu terpaksa ditangguh apabila arwah bapanya mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba.

“Ayah tak pernah ada darah tinggi atau apa sahaja sakit kronik. Saya ingat lagi pada 2012 ayah jatuh di bilik air kerana diserang strok. Ketika itu, saya yang bekerja sebagai pemandu lori di Batu Pahat terus membuat keputusan berhenti kerja dan pulang ke Segamat demi menjaga beliau.

“Selain saya, abang sulung yang sememangnya menetap bersama ayah juga berhenti kerja. Jadi, sepanjang ayah sakit sejak 2012, kami hanya lakukan kerja separuh masa dan itu pun kadang-kala. Selebihnya fokus kami jaga keperluan ayah,” katanya.

Menurutnya, meskipun terpaksa berhenti kerja dan tidak mempunyai pendapatan sendiri selama tujuh tahun, namun dia dan abangnya, Mohd Fadzly, 36, tidak pernah menyesal.

Malah, dua beradik ini akui puas kerana berpeluang untuk berbakti kepada bapanya sehingga akhir hayat.

“Kerana masih ingat hasrat ayah yang tak sempat dilaksanakan, jadi kami enam beradik akhirnya sepakat nak kabulkan impian beliau demi mendapatkan pahala haji.

"Dan justeru, dengan wang takaful yang diterima ini, Insya-ALLAH akan membantu memudahkan urusan kami semua,” katanya yang bercadang mencari semula pekerjaan di Batu Pahat selepas ini.

Terdahulu, Mohd Fadzly dan Muhammad Nur Faris menerima Skim Takaful Warga Emas yang disampaikan ADUN Tenang, Solihan Badri.

Menurut Solihan, penyerahan wang takaful semalam merupakan kes pertama dalam DUN beliau.

“Di DUN ini, seramai 260 penduduk telah mengisi borang untuk merebut manfaat skim yang mana ia adalah faedah bernilai RM1,000 bertujuan membantu pewaris setelah kematian si penama itu tadi,” katanya.