Kerajaan ambil serius titah Agong: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya mengambil perhatian serius atas pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Menurutnya, perkara itu sedang diusahakan agar negara ini dapat segera keluar daripada permasalahan pandemik Covid-19.

“Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang baru diumumkan turut dibayangkan bahawa Parlimen mungkin boleh bersidang seawal September atau Oktober ini.

“Kerajaan dan rakyat perlu memberikan segala tumpuan dan keutamaan bagi menjayakan PPN ini.

“Sudah pasti urusan persidangan Parlimen perlu dilakukan dengan mematuhi peruntukan undang-undang, Perlembagaan serta peraturan-peraturan persidangan sedia ada,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi secara efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh berkata, pihaknya amat menghargai pandangan Seri Paduka Baginda mengenai perlunya kerajaan yang stabil dan kukuh itu.

Artikel Berkaitan:

“Politiking perlu dihentikan dan semua pihak perlu fokus kepada muafakat dan usaha memenangi perang mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Beliau pada masa sama turut bersetuju dengan pandangan bahawa program vaksinasi amat penting disegerakan.

“Disebabkan inilah pelan vaksinasi disemak semula dan Accelarated Vaccination Programme telah diperkenalkan dengan sasaran 80 peratus populasi dapat divaksinkan dan imuniti kelompok dapat dicapai.

“Di sesetengah kawasan, ini boleh dicapai seawal Julai atau Ogos ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh Suruhanjaya Kedaulatan Negara: Pak Wan

ARTIKEL BERKAITAN: Buka segera atau tunggu September?

ARTIKEL BERKAITAN: PM boleh ubah tarikh persidangan