Penuntut Unisel terima anugerah pelajar terbaik 2020 MIA

Bakal terima biasiswa pembangunan profesional daripada IICAEW dan wang tunai berjumlah RM500.

Muhamad Farid
Muhamad Farid
A
A
A

SHAH ALAM - Penuntut Universiti Selangor (Unisel), Muhamad Farid Wahid menerima Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan 2020 oleh Institut Perakaunan Malaysia (MIA) pada Persidangan Antarabangsa MIA 2021 yang berlangsung dalam talian pada 8 hingga 10 Jun lalu.

Berikutan kejayaannya itu, Muhamad Farid bakal menerima biasiswa pembangunan profesional daripada Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan wang tunai berjumlah RM500.

Muhamad Farid berkata, kejayaan diperoleh itu sesuatu yang istimewa kerana mengharumkan nama Unisel.

"Saya teruja dan bersyukur apabila terpilih memenangi anugerah ini dan amat berterima kasih kepada keluarga, pensyarah serta rakan yang banyak menyokong selama ini," katanya dalam satu kenyataan media Unisel pada Jumaat.

Muhamad Farid berkata, dia berharap kejayaannya itu menjadi inspirasi kepada penuntut program perakaunan di Unisel.

"Harapan saya dapat menjadi pemangkin semangat buat rakan-rakan lain pada masa depan," ujarnya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda (ISM) Perakaunan (Kepujian) itu yang menamatkan pengajian pada Disember tahun lalu, kini bergelar Junior Eksekutif di Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Sementara itu, Penyelaras Program ISM Perakaunan (Kepujian) Unisel, Datin Noor Nasyikin Md Zain memberitahu, penganugerahan tahunan itu memberi penghargaan kepada penuntut cemerlang dalam program perakaunan daripada 17 universiti.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan Muhamad Farid Wahid adalah satu kebanggan buat Unisel. Kita berjaya membuktikan program Perakaunan Unisel adalah antara yang terbaik dan setanding dengan universiti terkemuka dunia," katanya.

Jelas beliau, Unisel menawarkan program pengajian yang berkualiti tinggi selain program ditawarkan di universiti itu bukan saja mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayan Malaysia (MQA), malah pengiktirafan oleh badan profesional antarabangsa.

“Sebagai contoh, Program ISM Perakaunan (Kepujian) Unisel mendapat pengiktirafan dan akreditasi penuh daripada badan-badan profesional perakaunan di Malaysia dan antarabangsa seperti MIA, ACCA, CIMA dan ICAEW selain akreditasi penuh oleh MQA," ujar beliau.

Menariknya di Unisel, kata beliau, kesemua kursus melalui proses penambahbaikan terhadap struktur program dan silibus yang dikemaskini dari semasa ke semasa dengan mendapat khidmat nasihat daripada ilmuan akademik dan pakar dalam industri.

"Ini bagi memastikan setiap program yang ditawarkan berada pada tahap kualiti yang terbaik dan memenuhi keperluan industri, seterusnya menghasilkan graduan yang berdaya saing," katanya.