Titah Agong peringatan kepada Ahli Parlimen

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KOTA BHARU – Semua Ahli Parlimen perlu menterjemahkan titah Yang di-Pertuan Agong sebaik mungkin supaya tidak ‘lalai’ melaksanakan peranan mereka dalam menangani isu Covid-19.

Penolong Naib Canselor, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM COLGIS), Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, sudah tiba masanya mereka duduk membincangkan usaha pemulihan negara yang kerajaan sedang lakukan.

Menurutnya, titah Yang di-Pertuan Agong sebenarnya adalah perlu dilihat sebagai peringatan untuk semua pihak membuat ‘kerja’ masing-masing, bukan menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kena ambil tindakan yang sepatutnya bagi menzahirkan apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana ia adalah untuk kebaikan semua pihak.

“Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu kita menyelesaikan krisis-krisis yang ada hari ini dan susah untuk kita melakukan pemulihan secara pantas dalam menangani masalah negara,”katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen dilihat sebagai tindakan kurang bijak dan menyerlahkan sikap rakyat Malaysia yang kurang mengamalkan demokrasi.

Malah katanya, Parlimen adalah platform terbaik untuk semua pihak mencari penyelesaian terbaik dan tuntas menyelesaikan krisis yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Bila adanya persidangan Parlimen, maka semak dan imbang apa yang kerajaan lakukan boleh dilaksanakan secara tuntas.

Artikel Berkaitan:

“Fokus perbincangan nanti adalah ke arah menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi yang telah membelenggu kita hampir setahun setengah ini, selain ekonomi serta pelan pemulihan negara.

“Isu politik perlu diletakkan di tepi buat sementara waktu, pihak kerajaan dan pembangkang perlu sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dalam mencari penyelesaian yang sewajarnya dalam menangani isu-isu yang melanda negara,”katanya.