Pasar Awam Jalan Perak dibuka semula

Jagdeep (tengah) hadir ke Pasar Awam Jalan Perak pada Jumaat untuk meninjau pembukaan semula pasar tersebut selepas seminggu ditutup.
Jagdeep (tengah) hadir ke Pasar Awam Jalan Perak pada Jumaat untuk meninjau pembukaan semula pasar tersebut selepas seminggu ditutup.
A
A
A

GEORGETOWN - Pasar Awam Jalan Perak yang ditutup sebelum ini kerana beberapa kes positif Covid-19 melibatkan peniaga di pasar itu dibuka semula hari ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini pasar yang menempatkan 55 buah kedai itu diarahkan tutup segera oleh Kementerian Kesihatan pada Jumaat minggu lalu.

Menurutnya, operasi pasar tersebut dijalankan semula selepas kesemua 69 peniaga mematuhi prosedur yang ditetapkan selain telah selesai menjalani ujian saringan Covid-19.

"Seramai 11 peniaga yang disahkan positif Covid-19 telah diarahkan menjalani kuarantin manakala yang lain dibenarkan untuk memulakan perniagaan mereka semula bermula hari ini," katanya di Pasar Awam Jalan Perak, di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, sejak Mac tahun lalu, lebih sejuta pemeriksaan di premis awam dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Tambahnya, dalam tempoh itu juga, kira-kira enam pasar awam telah diarahkan tutup di kawasan pulau dan Seberang Perai.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) di dalam usaha pencegahan Covid-19.

Pada 11 Jun lalu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang mengesahkan Pasar Awam Jalan Perak ditutup dengan segera selepas beberapa kes positif Covid-19 melibatkan peniaga di pasar itu dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penutupan pasar tersebut bagi membolehkan kerja sanitasi dan tindakan lain yang perlu dijalankan.

Perintah penutupan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan kira-kira jam 11.15 pagi, Jumaat lalu itu dibuat mengikut Sub-Seksyen 18 (1) (f) Akta Tindakan dan Kawalan Pencegahan Penyakit 1988.