De Boer tuntut persembahan lebih baik

Belanda berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terakhir selepas menewaskan Austria 2-0.
Belanda berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terakhir selepas menewaskan Austria 2-0.
A
A
A

PENGENDALI Belanda, Frank de Boer mengharapkan pasukannya boleh beraksi lebih bagus selepas menumpaskan Austria 2-0 dalam aksi kumpulan C di Arena Johan Cruyff, Amsterdam pada awal pagi Jumaat.

Menurutnya, pasukan perlu menggangap cabaran lebih besar bakal dihadapi selepas sah melayakkan diri ke saingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan Eropah itu.

"Anda perlu sentiasa meningkat dalam kejohanan sebegini selain perasaan untuk anda bermain bersama-sama sebagai satu pasukan dalam setiap perlawanan.

"Akan ada sesi perbincangan dengan keseluruhan pasukan mengenai apa lagi yang kami boleh tambah baik. Penyatuan dan kerjasama kami ketika ini sangat penting dan kami perlu teruskan perkara positif ini sehingga tamat kejohanan," katanya.

Dalam perlawanan itu, Memphis Depay membuka tirai jaringan menerusi penalti pada minit ke-11 sebelum Denzel Dumfries memastikan kemenangan buat The Oranje menerusi gol kedua pada minit ke-67.

Ia sekali gus menyaksikan The Oranje mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan C dan akan berdepan Macedonia Utara pada aksi terakhir 22 Jun ini.

Dalam pada itu, De Boer juga berkemungkinan akan melakukan beberapa perubahan bertujuan merehatkan pemain ketika aksi menentang Macedonia nanti.

"Saya perlu bercakap dengan staf jurulatih dan berbincang dengan pasukan mengenai perkara terbaik yang harus dilakukan dan bersiap sedia untuk Macedonia Utara.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana kita akan bermain, apakah kita akan mempertahankan tahap konsisten atau akan memberikan pemain waktu tambahan dan berehat, itu yang akan kami bincangkan.

"Menentang Macedonia akan menjadi seperti perlawanan untuk melihat apakah perubahan yang boleh dilakukan. Memang tempoh untuk menghadapi pusingan seterusnya masih panjang, tetapi tiga perlawanan dalam tempoh yang singkat dan ia sangat meletihkan pemain. Anda harus mempertimbangkan banyak perkara, jadi kita akan lihat apa yang berlaku dan saya harap saya dapat membuat keputusan yang tepat," katanya.