Penerbit rancangan rugi ditipu sindiket pelaburan

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Tertarik dengan pulangan pelaburan berkali ganda dalam tempoh singkat mendorong seorang penerbit rancangan mencuba menyertai pelaburan yang diiklankan melalui laman sosial Facebook pada awal Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 31 tahun melabur sebanyak RM8,550 namun selepas bayaran dibuat, dia gagal menerima pulangan hasil keuntungan dalam tempoh dijanjikan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Khamis setelah mengesyaki ditipu.

Mohd Wazir berkata, pelaburan itu ditawarkan dengan modal serendah RM400 dan mangsa dijanjikan pulangan sehingga RM8,600 dalam tempoh tiga jam serta RM16,200 selepas enam jam.

Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa, dia meninggalkan nombor telefon pada iklan tersebut sebelum dihubungi individu mendakwa broker pelaburan.

"Mangsa ditawarkan beberapa pelan namun memilih pelan A dengan modal serendah RM400 sebelum menambah pelaburannya sehingga RM8,550 dan membuat lapan transaksi bayaran melalui satu akaun bank atas nama seorang wanita.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pemilik akaun bank digunakan dalam kes ini sedang dikesan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: