Kilang proses baja organik kompos punca pencemaran air, bau

Keadaan kilang di Hulu Selangor yang menjalankan aktiviti membuat baja organik kompos tidak terurus dan menyebabkan pencemaran. - Foto Ihsan FB JAS
Keadaan kilang di Hulu Selangor yang menjalankan aktiviti membuat baja organik kompos tidak terurus dan menyebabkan pencemaran. - Foto Ihsan FB JAS
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti membuat baja organik kompos dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa selepas didapati menjadi punca kepada pencemaran air dan bau di kawasan berhampiran.

Menerusi kemas kini di laman Facebook pada Khamis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, operasi yang disertai beberapa agensi berkaitan itu turut mendapati kilang berkenaan berada dalam keadaan tidak terurus dan terdedah sehingga menyebabkan air hujan bercampur dengan sisa-sisa pokok serta bahan organik yang menghasilkan cecair kehitaman berbau busuk.

Katanya, cecair hitam itu turut disalirkan keluar ke longkang premis dan menyebabkan pencemaran berlaku.

"Kilang ini mendapat kelulusan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atas kapasiti perkhidmatan perlu namun pemiliknya didapati tidak memiliki sebarang kelulusan lesen dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)," katanya.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi itu adalah JAS Selangor, MDHS, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi tindakan penguatkuasaan berkenaan, JAS berkata, kilang terbabit turut dikenal pasti menjalankan operasi tanpa kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Sehubungan itu, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas peralatan proses telah dikenakan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: