Pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat lebih selamat

Pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam beberapa fasa mengikut PPN adalah lebih selamat dan stabil. - Foto 123RF
Pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam beberapa fasa mengikut PPN adalah lebih selamat dan stabil. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam beberapa fasa mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah lebih selamat dan stabil meskipun menyedari keputusan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh telah menjejaskan rakyat.

Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, pembukaan sektor ekonomi secara meluas dan cepat hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

“Peningkatan kes positif Covid-19 tidak akan membantu ekonomi negara kembali seperti sedia kala dalam masa yang singkat.

“Justeru, kerajaan perlu melaksanakan sekatan pergerakan penuh secara berterusan (untuk mengekang penularan jangkitan dan kes daripada meningkat lebih tinggi),” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bagi membincangkan tajuk ‘Pelan Pemulihan Negara:Kelangsungan Sektor Ekonomi’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata, mustahil untuk Malaysia menjayakan Pelan Pemulihan Negara seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini sekiranya kes Covid-19 kekal mencatatkan jumlah yang tinggi.

“Pendekatan yang diambil dalam pelan berkenaan adalah setiap fasa dibuat secara beransur-ansur berdasarkan kepada tiga indikator nilai ambang.

“Nilai ambang tersebut boleh dicapai dengan adanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semua rakyat perlu dapatkan vaksin dan mengamalkan gaya hidup sihat di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan,” katanya.

Pada 15 Jun, Muhyiddin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang menetapkan aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat di bawah fasa kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis sekiranya purata kes harian Covid-19 turun di bawah 4,000.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, Malaysia boleh beralih kepada fasa ketiga, dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos 2021, sekiranya berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian Covid-19 turun kepada paras di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU kepada paras mencukupi serta 40 peratus populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa keempat boleh digerakkan sekiranya nilai ambang tercapai iaitu purata kes harian berkurangan kepada paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada pada paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Muhyiddin berkata, fasa keempat yang dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober 2021, mungkin boleh mengembalikan norma kehidupan seharian dengan semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Johan berkata, ketidakupayaan dalam mencapai nilai ambang ditetapkan akan menyebabkan negara lambat mengalami peralihan fasa yang sekali gus akan memberi kesan terhadap sektor ekonomi.

“Selagi tidak capai 60 peratus imuniti kelompok, kita tidak boleh bergerak ke fasa terakhir. Oleh itu, menjadi tanggangjawab kita bersama untuk memastikan negara boleh capai sasaran tersebut.

“ Apa yang penting sekali, kita semua berusaha...kerajaan, rakyat, pihak swasta cuba kurangkan rantaian Covid-19. Ambil vaksin, kes turun, tahap kesihatan kukuh dan capai imuniti kelompok untuk kita kembali seperti sedia kala,” katanya. - Bernama