Keselamatan rakyat, negara lebih utama berbanding PRU

Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Keselamatan rakyat dan negara ketika musim pandemik Covid-19 lebih penting daripada pelaksanaan pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu memberi fokus kepada membantu rakyat dalam menghadapi kesulitan hidup dan keselamatan diri.

Menurutnya, perkara tersebut lebih utama dalam menggunakan semua sumber untuk membantu kerajaan dalam menangani masalah Covid-19.

“Sebelum ini, memang UMNO ingin melihat satu pilihan raya diadakan secepat mungkin.

“Tetapi kita kena realistik, berjiwa besar dan yang penting ialah nasib rakyat dan negara daripada kita mengadakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi ke 266 yang bertajuk 'PRU15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat' yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana Sinar Harian Edisi ke 266 yang bertajuk PRU 15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Wacana Sinar Harian Edisi ke 266 yang bertajuk PRU 15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana tersebut turut menampilkan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar dan Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi manakala Edlyanna Hanie Abu Hamid bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan Parlimen perlu dilakukan dengan secepat mungkin agar dapat membantu kerajaan untuk mendapatkan idea yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana masalah yang kita hadapi pada hari ini dalam tempoh darurat, semua dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

“Wakil rakyat yang duduk di luar tidak diberi peluang untuk memberikan pandangan.

“Kita lihat kerajaan sebelum ini terlepas pandang ataupun mengambil tindakan yang tidak tepat untuk menangani masalah yang dihadapi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, beliau mahu kerajaan mempertimbangkan cadangannya untuk menyusun semula barisan kabinet supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan dengan lebih baik kepada negara.

“Bukan saya nak katakan kabinet tidak berfungsi tetapi ada keperluan mengambil kira pandangan rakyat untuk memperkasakan kerajaan dengan melantik yang mempunyai keupayaan.

“Kita nak apa yang terbaik untuk negara dan rakyat kita, UMNO memang bersedia untuk membantu kerajaan dalam hal ini,” ujarnya.