Keputusan perlu berpandukan perlembagaan, undang-undang

Ronald ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-266 bertajuk ‘PRU15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Ronald ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-266 bertajuk ‘PRU15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap keputusan yang dibuat sama ada mahu melaksanakan persidangan Parlimen dalam tempoh darurat haruslah berpandukan perlembagaan dan undang-undang negara.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keperluan untuk mengadakan persidangan Parlimen dengan segera juga perlu mengambil kira konteks perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, banyak pihak berpendapat Parlimen boleh dibuat secara hibrid, tetapi tidak ramai yang melihat bagaimana Parlimen secara hibrid boleh dilaksanakan dalam bentuk peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang ada pada ketika ini.

“Nak buat Parlimen secara hibrid, kita mesti ubah peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan untuk mengubahnya, jawatankuasa mesyuarat Dewan Rakyat yang dipengerusikan speaker harus bersidang dan bermesyuarat terlebih dahulu.

“Kemudian, keputusan ini diangkat ke mesyuarat khas Parlimen untuk melaksanakan pindaan terhadap peraturan ini dan Parlimen boleh dipanggil secara hibrid jika ia diluluskan selepas memberi notis 24 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-266 bertajuk ‘PRU15: Kuasa Pemimpin atau Nyawa Rakyat?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana tersebut turut menampilkan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar dan Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi manakala Edlyanna Hanie Abu Hamid bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, sewaktu persidangan Bersatu pada November lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan komitmen untuk mengadakan pilihan raya sebaik isu Covid-19 selesai.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ronald, kerajaan juga mengambil keputusan untuk membuka sidang Parlimen

dalam tempoh fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara sebagaimana diumumkan pada Selasa.

“Ini bermakna, Perdana Menteri mahu pilihan raya dan sidang Parlimen diadakan. Namun, ia bergantung kepada kejayaan kerajaan menangani pandemik Covid-19 yang sedang melanda ketika ini.

“Pilihan raya boleh diadakan tetapi adakah kita bersedia dengan kesan penularan Covid-19 selepas itu. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Sabah tahun lepas,” katanya.

Justeru, beliau berkata, sekiranya Pelan Pemulihan Negara berjaya dilaksanakan, maka kehendak rakyat mahu kerajaan mengadakan pilihan raya dan sidang Parlimen akan terlaksana.