Isu Parlimen: Kerajaan perlu segera jumpa Peguam Negara

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan segera mendapatkan nasihat Peguam Negara berhubung tempoh sebenar Parlimen sepatutnya bersidang, bagi mengelakkan kekeliruan.

Ia berikutan hari ini merupakan hari ke-183 atau enam bulan satu hari selepas sidang Parlimen terakhir iaitu pada 17 Disember 2020.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, pada hemat beliau, Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos 2021 bagi mengelakkan berlakunya krisis Perlembagaan.

ARTIKEL BERKAITAN:Buka segera atau tunggu September?

Jelas beliau, sekiranya darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, bermaksud Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak lagi terpakai kerana darurat sudah tidak berkuat kuasa.

"Maka Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan akan terpakai semula pada ketika itu iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari masa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal berikutnya.

"Oleh yang demikian, untuk mengelak dari berlakunya satu krisis Perlembagaan, Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos 2021. Bukan September atau Oktober.

ARTIKEL BERKAITAN:PM boleh ubah tarikh persidangan

Artikel Berkaitan:

"Saya gesa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan segera mendapatkan nasihat Peguam Negara dan menjelaskan kepada umum tentang perkara ini untuk mengelak dari mengelirukan orang ramai termasuk -ahli- ahli Parlimen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, ini juga memandangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Pemerintah telah bertitah agar Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’, memandangkan Parlimen adalah platform terbaik untuk mendengar masalah dan menyelesaikan isu rakyat.

Katanya, umum juga sedia maklum bahawa pendirian Raja-Raja Pemerintah bahawa tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

"Untuk mengelak dari berlakunya sebarang krisis Perlembagaan, Perdana Menteri mesti seawal hari ini mohon menghadap dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Agong, PM perlu runding tarikh buka Parlimen