Jangan terpengaruh, kerajaan PH amat stabil

x-default
x-default
A
A
A

SEMENYIH - Kerajaan PH berada dalam keadaan yang amat stabil di peringkat Persekutuan dan orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan sebaliknya.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah tidak benar.

"Kerajaan PH di Putrajaya adalah amat stabil. Isu undi tidak percaya ini adalah tidak benar, kenapa Pas mainkan isu ini pada PRK DUN Semenyih adalah kerana mereka tiada isu.

ARTIKEL BERKAITAN:Undi tak percaya kehendak Hadi, kata Anwar

"Tiada sebarang isu antara parti-parti dalam PH ini... tidak benar sama sekali. Rakyat tidak perlu risau akan hal ini," katanya pada ceramah kempen PRK DUN Semenyih, di sini malam ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, akan berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam ucapannya itu, Gobind, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata, rakyat perlu memberikan kerajaan PH masa untuk memenuhi semua janji manifesto yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"PH diberi mandat untuk memerintah negara selama lima tahun sebelum pilihan raya umum yag seterusnya, oleh itu beri kami masa untuk laksanakan semua janji kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Gobind ketika mengulas mengenai isu kutipan tol di lebuh raya, berkata, sebarang pengumuman tentang perkara itu perlu dilakukan oleh menteri berkaitan.

"Isu tol ini saya sudah utarakan sejak 2008. Jika ia tidak boleh dihapuskan kita mestilah mengurangkan kadarnya demi kebajikan rakyat. BN yang memerintah selama 61 tahun tidak dapat melakukan perkara sedemikian dan kita (PH) perlu menunjukkan yang kita berbeza daripada mereka," katanya.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu pengumuman berkaitan tol akan dilakukan dalam masa terdekat oleh menteri berkaitan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Hari pengundian PRK DUN Semenyih adalah pada 2 Mac ini. PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung. - Bernama