X

Kindly register in order to view this article
!

Jet tentera Israel serang Gaza lagi

Gambar fail menunjukkan letupan berlaku akibat serangan jet-jet Tentera Udara Israel di bandar Gaza pada Rabu lalu. - Foto AFP
A
A

GAZA - Jet-jet tentera Israel melancarkan serangan udara buat kali kedua dalam tempoh tiga hari ke atas Gaza pada lewat malam Khamis.

Menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF), serangan tersebut melibatkan beberapa sasaran di bandar Gaza dan Khan Yunis di selatan Gaza.

Dalam pada itu, seorang wartawan AFP dilaporkan turut mendengar bunyi letupan akibat serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu di bandar Gaza.

Selepas serangan udara tersebut, pejuang Hamas melepaskan tembakan menggunakan mesingan berat ke arah negara haram Israel.

Setakat ini, tiada laporan kematian dan kecederaan dilaporkan akibat serangan udara rejim Zionis itu.

Sebelum serangan itu, beberapa belon api dilepaskan ke arah negara haram Israel dari Gaza.

Pada awal Rabu lalu, jet-jet tentera Israel mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui dengan Hamas pada bulan lalu apabila melancarkan serangan udara di Gaza.

Tentera Israel ketika itu menyatakan, ia menyasarkan beberapa kemudahan Hamas dalam serangan tersebut.

Tiada laporan kematian dan kecederaan berikutan serangan pada Rabu itu di Gaza.

Pada bulan lalu, rejim Zionis mencapai persetujuan dengan Hamas untuk melaksanakan gencatan senjata setelah tentera Israel melancarkan serangan udara selama 11 hari sehingga mengorbankan lebih 200 penduduk Palestin dan lebih 1,900 orang cedera di Gaza. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!