Pembekal sejadah Madinah tak menang tangan

Sejadah jenis Kaabah adalah antara yang mendapat permintaan tinggi di Malaysia.
Gambar kanan: Siti Norwahida dan suami, Wan Mohd Khairy semasa berada di Masjid Nabawi.
Sejadah jenis Kaabah adalah antara yang mendapat permintaan tinggi di Malaysia. Gambar kanan: Siti Norwahida dan suami, Wan Mohd Khairy semasa berada di Masjid Nabawi.
A
A
A

CHANGLUN - Seorang pensyarah perakaunan di Universiti Ha’il, Arab Saudi, Dr Siti Norwahida Shukeri tidak menyangka niatnya membantu kenalan di Malaysia pada Ramadan 2020 yang memintanya membelikan sejadah di Madinah berakhir dengan sambutan yang memberangsangkan.

Siti Norwahida, 36, berkata, pada awalnya beliau hanya memuat naik gambar sejadah Raudhah yang dihadiahkan oleh seorang kawannya di Instagramnya kerana kelihatan cantik, selesa dan menarik.

Menurutnya, lebih 100 tempahan yang diterima melalui rakan-rakannya di media sosial tersebut sekali gus membuka ruang kepadanya untuk kembali aktif sebagai seorang usahawan semula.

“Sebenarnya saya telah membuat perniagaan menjual batik lukis di Perlis selama lapan tahun semasa bekerja sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Perlis.

“Namun disebabkan kesibukan bekerja dan berniaga, sampai satu tahap saya mahu berehat dan mengambil keputusan untuk bekerja di Arab Saudi bermula 2019.

“Memang saya tenang berada di sini.

“Tapi bila ada jiwa usahawan ini, memang susah nak berhenti bila menghidu satu peluang perniagaan yang mampu berkembang dan menjadi satu perniagaan bertaraf global,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, sejadah tersebut memang menjadi buruan mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk membelinya dan dijadikan sebagai kenangan ataupun cenderahati apabila dibawa pulang ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Siti Norwahida berkata, bertitik tolak daripada permintaan yang tinggi, semangat beliau juga kian melonjak apabila seorang rakannya juga menyuarakan hasrat untuk menjadi ejen di negara ini.

JenamaBeliau mula mengambil pratempahan sebanyak 1,000 helai sejadah bermula November 2020 dan lama-kelamaan permintaannya juga semakin bertambah pada bulan-bulan seterusnya sehingga perlu menggajikan tiga pekerja bermula Januari lalu.

Khidmat kontena perlu digunakan oleh The Prayer Mat apabila permintaannya melonjak dalam tempoh enam bulan ini.
Gambar kanan: The Prayer Mat kini mempunyai 12 pekerja bagi membantu menguruskan penghantaran kepada semua ejen di seluruh Malaysia. (Gambar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0).
Khidmat kontena perlu digunakan oleh The Prayer Mat apabila permintaannya melonjak dalam tempoh enam bulan ini. Gambar kanan: The Prayer Mat kini mempunyai 12 pekerja bagi membantu menguruskan penghantaran kepada semua ejen di seluruh Malaysia. (Gambar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0).

“Saya mengambil keputusan untuk mula serius pada awal tahun ini dengan menubuhkan syarikat The Prayer Mat Sdn Bhd sebagai pembekal sejadah Madinah untuk menguruskan perniagaan menjual sejadah dan minyak wangi yang berpusat di Changlun, Kedah.

“Daripada tiga pekerja, kami menambah kepada 12 pekerja dalam tempoh enam bulan ini bagi menguruskan tempahan yang semakin meningkat,” ujarnya yang baru pulang ke tanah air tiga minggu lalu untuk menguruskan perniagaan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan The Prayer Mat berkata, jumlah ejen juga meningkat kepada 350 di seluruh negara dan mahu memfokuskan pasaran dan jenama The Prayer Mat di dalam negara sebelum meluaskan ke pasaran antarabangsa.

Beliau bersyukur usahanya itu mendapat sokongan penuh daripada suami, Dr Wan Mohd Khairy Adly Wan Zaimi, 36, yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi.

“Suamilah yang dulu pada awal-awal membantu membawa pulang sejadah ke Malaysia apabila beliau ke Arab Saudi sebulan sekali.

“Apabila jumlahnya semakin bertambah, kami mula menempah menggunakan perkhidmatan kontena untuk menghantar terus sejadah dan minyak wangi dari kilang di Arab Saudi ke Malaysia,” ujarnya.

Selain sejadah, The Prayer Mat juga membekalkan minyak wangi dari Arab Saudi.
Selain sejadah, The Prayer Mat juga membekalkan minyak wangi dari Arab Saudi.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, syarikatnya yang dilantik sebagai pengedar tunggal kepada kilang terbabit memfokuskan kepada 180 daripada lebih 500 reka bentuk sejadah.

Antara sejadah yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis sejadah imam Makkah, Kaabah dan Raudhah.

“Kami memberi tumpuan dahulu kepada pasaran tempatan bagi tahun 2021 sebelum melebarkan ke negara lain.

“Memang ada permintaan antarabangsa untuk pasaran United Kingdom, Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura, Australia, Maldives, Jerman, Nigeria, Pakistan dan beberapa lagi, namun kami mahu menstabilkan dulu permintaan tempatan kerana kami sentiasa kehabisan stok,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.