Telefon pintar bantu rapat jurang keciciran pendidikan

Pemberian peranti telefon pintar membantu mengurangkan jurang kadar keciciran pendidikan ketika era pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
Gambar kecil: Muhammad Asree
Pemberian peranti telefon pintar membantu mengurangkan jurang kadar keciciran pendidikan ketika era pandemik Covid-19. - Gambar hiasan Gambar kecil: Muhammad Asree
A
A
A

IPOH - Pemberian sebanyak 20,000 unit peranti telefon pintar hasil kolaboratif kerajaan Perak bersama Yayasan YTL membantu mengurangkan jurang kadar keciciran pendidikan ketika era pandemik Covid-19.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, spesifikasi telefon pintar tersebut dilihat memadai untuk digunakan semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, pada masa sama, pelajar yang menerima telefon pintar itu juga dibekalkan dengan pelan data 10GB sebulan secara percuma selama setahun.

"Perlu kita fahami, peranti ini adalah sumbangan pihak YTL dan spesifikasinya sudah ditetapkan. Keputusan kerajaan negeri untuk menerima kerjasama ini adalah atas niat untuk membantu pelajar sekolah dari keluarga kurang berkemampuan untuk meneruskan PdPR.

"Dalam situasi genting ini, kita harus sedar bahawa ada ribuan pelajar di luar sana yang tidak mempunyai gajet atau peranti elektronik. Maka, melalui inisiatif ini, ia mampu mengurangkan jurang kadar keciciran dalam arus kebejatan pendidikan ketika era pandemik," katanya menerusi dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Muhammad Asree berkata, GPMS mengharapkan lebih ramai pihak menjalinkan kerjasama pintar dalam membantu kerajaan Perak membangunkan pendidikan digital di negeri itu.

Pada Rabu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memberitahu bahawa pemberian telefon pintar yang berkualiti rendah secara percuma kepada pelajar B40 di negeri ini dipersetujui Mesyuarat Exco Kerajaan Perak.

Menurutnya, Yayasan YTL telah datang berbincang dengan kerajaan negeri dan memberi taklimat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri mengenai peranti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, selepas penjelasan dibuat mengenai kualiti peranti berkenaan yang didatangkan dengan memori 1GB dan storan 8GB boleh digunakan untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju menerima sumbangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan Perak terima sumbangan telefon pintar tanpa bayaran'