X

Kindly register in order to view this article
!

‘Situasi Covid-19 semakin buruk’

Dapatan undian YouGov menunjukkan majoriti rakyat Malaysia bimbang dengan situasi terkini Covid-19 yang melanda negara.
A
A

[INFOGRAFIK] Sebanyak 81 peratus rakyat percaya situasi Covid-19 di negara ini semakin memburuk, menurut dapatan undian awam dijalankan YouGov baru-baru ini.

Undian melibatkan 1,031 rakyat Malaysia yang dijalankan dari 3 hingga 8 Jun 2021 itu melibatkan responden pelbagai bangsa, usia, jantina dan lokasi supaya dapatan diperoleh seimbang.

Dalam pada itu, hasil undian mendapati, hanya 13 peratus daripada rakyat percaya situasi akan pulih manakala 6 peratus yang lain memberikan jawapan tidak tahu.

Berdasarkan dapatan undian tersebut, mereka yang tinggal di kawasan bandar, terutamanya di Kuala Lumpur cenderung menyetujui perkara tersebut yang mana 89 peratus percaya situasi penularan wabak berkenaan semakin buruk.

YouGove merupakan firma penyelidikan pasaran dan analisis data berasaskan internet dari Britain yang beribu pejabat di United Kingdom dan beroperasi di Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan Asia-Pasifik.

Hasil undian turut mendapati, kira-kira 56 peratus rakyat percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan situasi Covid-19 dengan buruk dan responden bimbang dengan masa depan mereka.

Bagaimanapun, 40 peratus daripada responden percaya kerajaan sedang menguruskan situasi dengan baik manakala 4 peratus yang lain tidak tahu.

Sebanyak 64 peratus daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar pula cenderung memberikan jawapan kerajaan menguruskan situasi Covid-19 dengan buruk.

Menurut Ketua Pengundian dan Hal Ehwal Awam YouGove di Asia Pasific, Dr Campbell White, keputusan kerajaan Malaysia mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen memberi isyarat bahawa mereka sedia menggalas beban situasi Covid-19 secara keseluruhannya.

Situasi yang makin buruk-sesuatu yang tidak semestinya unik kepada Malaysia dalam tempoh pandemik ini kerana ia menguji muhibah politik yang lebih luas pada parti pemerintahan lain di serata dunia, tambah beliau.

Hasil undian terbaru YouGov itu juga mendapati situasi Covid-19 yang semakin memburuk telah menimbulkan masalah politik di negara ini.

Justeru, satu soalan berhubung perkara berkenaan telah diajukan kepada responden sama ada kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin perlu diundi semula atau mereka beri peluang kepada orang lain mentadbir.

Dapatan daripada soalan menunjukkan, sebanyak 34 peratus daripada rakyat Malaysia percaya kerajaan sedia ada patut diundi balik.

Sementara 55 peratus lagi percaya sudah tiba masanya memberikan peluang kepada orang lain untuk mentadbir dan selebihnya sebanyak 11 peratus memberikan jawapan tidak tahu.

Secara amnya, dapatan undian dijalankan YouGov itu jelas menunjukkan rakyat Malaysia, terutamanya pengundi bimbang dengan situasi terkini Covid-19 yang melanda negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!