Tindakan UM tepat, kata pakar

Tindakan Universiti Malaya (UM) menghalang seorang pelajar perubatan menduduki peperiksaan dianggap wajar oleh pakar virologi.
Tindakan Universiti Malaya (UM) menghalang seorang pelajar perubatan menduduki peperiksaan dianggap wajar oleh pakar virologi.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar virologi menegaskan tindakan Universiti Malaya (UM) yang menghalang seorang pelajar jurusan perubatan menduduki peperiksaan kerana belum menerima suntikan vaksin Covid-19 adalah wajar.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, ini kerana profesion pelajar itu merupakan bakal seorang doktor yang akan berhadapan dengan pesakit.

Tambahan pula katanya, sejak sekian lama fakulti perubatan di UM sudah menetapkan peraturan atau tatacara sendiri di mana setiap pelajar perubatan mesti mengambil vaksin untuk mengikuti kursus perubatan.

"Setiap pelajar yang ingin mengambil dan mengikuti kursus perubatan mesti menunjukkan bukti dia telah menerima vaksin untuk penyakit berjangkit lain seperti Hepatitis. Peraturan ini sudah sekian lama wujud.

"Walaupun Covid-19 merupakan penyakit baru, kaedah yang sama wajar diperkenalkan. Kita tidak mahu kerana mereka belajar, mereka berjangkit pesakit yang lain," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Baru-baru ini, seorang pelajar universiti berkenaan mendakwa dirinya dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Pelajar itu juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 14 Jun lalu dan pihak pengurusan UM melalui satu kenyataan memandang serius dakwaan tersebut di samping akan meneliti perkara itu secara terperinci.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin: UM teliti dakwaan pelajar dihalang ambil peperiksaan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Sazaly tidak menafikan hak peribadi seseorang untuk tidak menerima vaksin namun, ia haruslah bersesuaian dengan profesion yang diambil di mana jurusan doktor itu memerlukan pelajar mengambil vaksin untuk kepentingan semua.

"Tindakan yang dikenakan oleh pihak UM bersesuaian dengan keadaan sekarang. Benar, dia ada hak untuk tak ambil vaksin tetapi dia tidak ada hak untuk mendedahkan dan memberi risiko kepada pesakit lain.

"Apa yang kita bimbangkan ialah mereka ini bakal doktor yang mengendali pesakit, jadi kita khuatir mereka menjangkiti pesakit yang menjadi bahan pengajaran dan sebaliknya apabila pesakit menjangkiti mereka.

"Oleh itu, ada dua hal yang ditekankan apabila seorang pelajar perubatan perlu mengambil vaksin iaitu menjaga diri sendiri dan hak pesakit," katanya.

Dalam pada itu Dr Sazaly berkata, tenaga pengajar seperti dirinya sentiasa menerapkan nilai pengorbanan dan tanggungjawab terhadap pelajar jurusan perubatan yang bakal bergelar doktor pada masa hadapan.

"Bagi mereka yang mahu menjadi doktor, perlu ada pengorbanan dilakukan untuk orang lain dan itu semangat yang kita tanamkan. Kami mengajar pelajar di fakulti untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Jadi kita tidak boleh bersikap mementingkan diri di mana hak kita melebihi hak pesakit. Kita tidak halang mereka mengambil peperiksaan tetapi peperiksaan itu melibatkan pesakit," katanya.