Putin-Biden masih bercanggah pendapat

Kerajaan Amerika Syarikat akan menghantar dutanya ke Moscow selepas Presiden negara itu, Joe Biden bertemu rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di Geneva, Switzerland yang berlangsung pada Rabu lalu. - Foto AFP
Kerajaan Amerika Syarikat akan menghantar dutanya ke Moscow selepas Presiden negara itu, Joe Biden bertemu rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di Geneva, Switzerland yang berlangsung pada Rabu lalu. - Foto AFP
A
A
A

PERTEMUAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin semasa Sidang Kumpulan Tujuh (G7) berlangsung di Geneva, Switzerland pada Rabu lalu menarik perhatian ramai penganalisis politik.

Ia merupakan pertemuan pertama melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut tetapi ketika Putin memerintah negaranya sebelum ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan empat Presiden AS sebelum Biden memegang jawatan tersebut.

Kedua-dua pemimpin tersebut bertemu lebih dua jam di sebuah vila di tepi tasik di Geneva itu selepas Biden menganggap Presiden Rusia tersebut sebagai seorang pembunuh pada bulan Mac lalu.

Kedua-dua pemimpin itu juga bertemu setelah Presiden AS itu menekan Moscow dalam beberapa isu antaranya ialah menuduh Moscow campur tangan dalam pilihan raya Presiden Amerika, serangan siber ke atas sistem paip minyak Colonial Pipeline yang sepanjang 8,850 kilometer antara Texas ke New York selain beberapa infrastruktur lain dan isu pejuang antirasuah, Alexei Navalny diracun serta dipenjarakan di Rusia.

Pertemuan itu juga diadakan selepas hubungan antara kedua-dua negara tersebut berada di peringkat paling rendah sejak beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, Presiden AS itu juga menyatakan pada minggu lalu bahawa beliau mahukan hubungan yang stabil tetapi menjelaskan bahawa negaranya akan bertindak balas dengan cara kasar jika kerajaan Rusia didapati terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan.

Namun, selepas pertemuan itu berlangsung, Biden berkata pada sidang akhbar di Geneva bahawa terdapat percanggahan pendapat antara beliau dengan Putin.

Presiden AS itu juga menjelaskan bahawa Rusia tidak mahu satu lagi Perang Dingin berlaku dengan AS dan memberitahu para pemberita pada Rabu lalu bahawa terdapat prospek untuk AS memperbaiki semula hubungan dengan Rusia.

Artikel Berkaitan:

Namun, terdapat tanda-tanda persetujuan dalam beberapa isu antaranya tentang keselamatan siber, Ukraine dan isu Navalny.

Presiden AS itu tanpa berselindung menyatakan terdapat tindakan balas yang 'merosakkan' jika pejuang antirasuah dan pengkritik kerajaan Rusia itu mati di dalam penjara.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (kiri) bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di sebuah vila di Geneva, Switzerland pada Rabu lalu. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden (kiri) bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di sebuah vila di Geneva, Switzerland pada Rabu lalu. - Foto AFP

Navalny kini dihukum penjara dua tahun dan lapan bulan selepas didapati bersalah melanggar peraturan parol di negara itu.

Pada satu sidang akhbar berasingan, Putin pula menyatakan bahawa beliau gembira dengan penjelasan Biden melalui telefon selepas pertemuan berkenaan mengenai kenyataannya yang menggelarkan Presiden Rusia tersebut sebagai pembunuh pada Mac lalu.

Sebelum ini, Rusia memanggil pulang dutanya ke Washington selepas Presiden AS itu menggelarkan Putin sebagai pembunuh ketika beliau diwawancara dengan sebuah stesen televisyen di AS pada Mac lalu.

Namun, AS kemudian bertindak balas apabila turut memanggil pulang dutanya ke Rusia selepas negara tersebut berbuat demikian.

Bagaimanapun, pada pertemuan tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk menghantar semula duta masing-masing ke Moscow dan Washington.

Presiden Rusia itu turut membangkitkan isu-isu tentang pencabulan hak-hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak berkuasa AS dan menuduh tentera Amerika bertanggungjawab terhadap pembunuhan orang awam di Afghanistan serta Iraq.

"Siapa yang mengambil tanggungjawab untuk itu (pembunuhan orang awam di Afghanistan dan Iraq). Siapa pembunuhnya," Putin dilaporkan berkata pada sidang akhbar selepas pertemuannya dengan Biden di Geneva itu.

Sungguhpun begitu, kedua-dua pemimpin berkenaan bersetuju untuk memulakan dialog berhubung kawalan senjata nuklear.

Semasa pertemuan itu juga, Biden menghadiahkan Putin sepasang cermin mata hitam yang ditempah khas dan patung kristal haiwan bison iaitu sejenis haiwan seperti kerbau yang banyak terdapat di Amerika Utara.

Masih tidak jelas sama ada Putin memberikan sebarang hadiah kepada Biden.

Pada tahun 2018, Presiden Rusia itu memberikan Donald Trump yang ketika itu memegang jawatan Presiden AS sebiji bola sepak sebagai hadiah ketika mereka bertemu di Helsinki, Finland. - Agensi