Antara kemanusiaan dan kedaulatan

Hakikatnya, suka atau tidak, Malaysia akan terus menjadi tuan rumah kepada pelarian etnik Rohingya yang ada untuk jangka masa panjang.
Hakikatnya, suka atau tidak, Malaysia akan terus menjadi tuan rumah kepada pelarian etnik Rohingya yang ada untuk jangka masa panjang.
A
A
A

[MUKADIMAH] ISU mengenai limpahan pelarian Rohingya ke negara ini telah mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang bimbang ia akan menjurus ke arah permasalahan sosial, isu keselamatan negara serta ekonomi dan ada yang bersimpati atas dasar kemanusiaan serta seagama.

Sinar Harian sejak beberapa minggu yang lalu cuba menyingkap permasalahan ini dengan melaporkan isu berkaitan limpahan kemasukan pelarian Rohingya dari pelbagai perspektif. Reaksi yang kami terima – ada yang setuju dan ada yang tidak setuju dengan laporan kami. Dalam artikel terbaharu ini, dua orang penganalisis daripada universiti tempatan telah membuat kajian terperinci mengenai isu pelarian Rohingya dan kami siarkan dapatan mereka untuk tatapan serta penilaian para pembaca.


MINGGU lalu tular berita berhubung poster yang telah dimuat naik Jabatan Imigresen Malaysia bertajuk ‘migran etnik Rohingya kedatangan anda tidak diundang’.

Pelbagai respons dan kecaman dilemparkan netizen serta pertubuhan hak asasi manusia yang menyifatkan prinsip kerajaan Malaysia tidak berperikemanusiaan dan layanan ‘pilih kasih’ jika dibandingkan dengan isu Palestin.

Hal itu mampu mencetuskan ketegangan, kebencian dan ‘xenophobia’ terhadap pelarian Rohingya. ‘Kemesraan’ dan agenda peribadi pemimpin-pemimpin negara masa lalu yang menagih populariti antarabangsa telah memberikan ‘signal’ mengalu-alukan kedatangan mereka hingga akhirnya berbondong-bondong ketibaan pelarian Rohingya ke negara ini.

Memburukkan lagi isu ini, kita menerima mereka masuk, lalu membiarkan mereka ‘ke sana ke mari’ dengan bebasnya tanpa ada perancangan masa hadapan yang holistik berkaitan implikasi perundangan, pekerjaan, kesihatan dan pendidikan.

Mengikut statistik terkini sehingga Mei 2021, UNHCR melaporkan seramai 179,570 pelarian dan pencari suaka telah mendaftar dengan hampir 102,950 atau 57 peratus pelarian berdaftar adalah daripada etnik Rohingya yang hampir menyamai jumlah penduduk di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Peningkatan statistik terkini menunjukkan ‘tetamu tidak diundang’ ini telah menempatkan Malaysia sebagai negara tuan rumah pelarian tertinggi di Asia Tenggara. Hakikatnya, tidak ada negara jiran kita yang ambil kisah atau sedikit pun berminat membantu atau membuka pintu kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Malaysia pada mata pelarian etnik Rohingya dilihat menjadi syurga baharu hingga mereka sanggup mempertaruhkan nyawa memulakan hidup di bumi bertuah ini. Rasa simpati yang pada awalnya hanya memastikan mereka kekal bernyawa dan menumpang teduh telah merekah luas hingga ke hari ini.

Namun, daripada lensa pembuat dasar, isu ini ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’. Polisi yang hendak dirangka berkaitan pelarian Rohingya dilihat ‘mustahil’ untuk menyeimbangkan kesan ekonomi, sosial dan kesihatan tanpa menidakkan agenda kemanusiaan.

Sebagai contoh, kerajaan digesa oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis kemanusiaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang sah kepada etnik Rohingya walaupun secara jelas tiada keperluan kerajaan berbuat demikian.

Atas dasar kemanusiaan, sekitar tahun 2016, kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah melaksanakan projek rintis yang memberikan peluang pekerjaan kepada pelarian etnik Rohingya. Namun, projek itu dianggap gagal kerana kurang menarik minat penglibatan etnik Rohingya.

Amaran

Berbalik kepada kontroversi poster yang telah dimuat naik, secara dasarnya mesej memberi penegasan dan amaran bahawa Malaysia sudah tidak mampu lagi menampung kemasukan pelarian etnik Rohingya. Dengan ancaman penularan Covid-19, kekangan kewangan kerajaan dalam menyediakan pelbagai keperluan negara, masalah pengangguran, sekali gus pelan pemulihan ekonomi domestik adalah tumpuan utama kerajaan hari ini.

Namun, sekadar menutup pili air tanpa berusaha mencari kebocoran dan menampalnya tidak akan menyelamatkan ‘rumah’ ini daripada karam dengan lambakan pelarian etnik Rohingya.

Usaha membawa mereka pulang ke Myanmar dilihat seakan menemui jalan buntu. Secara rasional dan realistik untuk kita akui bahawa pelarian ini akan kekal tinggal bersama kita sehingga 2040. Berdasarkan statistik terkini, hanya 4.5 peratus daripada keperluan penempatan semula global pada 2019 yang berjaya memperoleh tempat, selebihnya masih kekal ‘bermimpi’ dan bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup di negara tuan rumah termasuk Malaysia.

Melihat statistik terkini, dengan andaian National Task Force berjaya menyekat kemasukan baharu pelarian etnik Rohingya, penulis menganggarkan negara memerlukan sekurang-kurangnya 20 tahun lagi bagi mencapai sifar komuniti pelarian dalam negara.

Justeru, adalah signifikan bagi kerajaan Malaysia meneruskan perundingan dan merangka polisi bersesuaian dalam menguruskan pelarian etnik Rohingya yang ada dalam negara hari ini. Penyelidikan kami terhadap 180 pelarian Rohingya sebelum wabak Covid-19 mendedahkan bahawa kebanyakan pelarian Rohingya tiba dengan keluarga nuklear. Hal itu menandakan bahawa motif migrasi, keperluan sara hidup dan rancangan pengembalian adalah berbeza dengan migran ekonomi lain di Malaysia.

Dari segi latar belakang pendidikan, kebanyakan mereka pada tahap yang rendah, namun ada juga sebilangan kecil mempunyai taraf pendidikan sangat baik.

Setelah sekian lama di Malaysia, kebanyakan pelarian dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar. Ada juga yang telah membuka perniagaan bagi memenuhi permintaan komuniti mereka. Bagaimanapun, hasil penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa majikan tempatan mempunyai kebimbangan mengenai pengambilan pelarian etnik Rohingya.

Majoriti majikan yang terlibat dengan kajian ini mendedahkan bahawa pelarian Rohingya mempunyai beberapa kekurangan, antaranya masalah komunikasi, tidak konsisten, lack of common sense, limitasi kemampuan kognitif tetapi mempunyai egoisme diri yang tinggi berbanding migran ekonomi lain.

Tetapi majikan yang terlibat juga menyatakan ada pekerja pelarian etnik Rohingya yang boleh bekerja dengan sangat baik, komited dan mempunyai aspirasi kerja yang tinggi.

Hakikatnya, suka atau tidak, Malaysia akan terus menjadi tuan rumah kepada pelarian etnik Rohingya yang ada untuk jangka masa panjang.

Polisi

Oleh itu, kerajaan mesti merencanakan gabungan polisi holistik, telus dan bersifat kemanusiaan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan yang boleh mengubah stigma masyarakat terhadap situasi pelarian etnik Rohingya dan seterusnya membolehkan mereka memberi sumbangan positif kepada ekonomi Malaysia.

Dalam jangka masa pendek, pelarian etnik Rohingya hanya memerlukan tiga perkara asas iaitu pekerjaan yang sah, pendidikan asas untuk anak-anak mereka dan akhirnya, penjagaan kesihatan asas.

Justeru, penulis menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik dalam menyediakan peluang pekerjaan dengan membenarkan majikan menggaji pelarian etnik Rohingya secara sah.

Namun, sebelum mereka diberi izin kerja sementara, mereka mesti menjalani beberapa latihan persediaan asas bahasa, budaya hidup komuniti setempat, disiplin kerja dan sikap. Penulis juga menggesa mereka yang tidak lulus tidak dibenarkan bekerja.

Semua pihak yang berkepentingan mesti menerima bahawa dalam jangka panjang, pelarian Rohingya mesti meninggalkan Malaysia. Masyarakat antarabangsa perlu mendesak pemerintah Myanmar untuk mengambil semua langkah yang ada dalam posisi mereka bagi memungkinkan pelarian etnik Rohingya kembali ke tanah air dengan selamat atau UNHCR mesti menempatkan mereka semula di negara ketiga dalam waktu sesingkat mungkin.

* Profesor Madya Dr Tan Peck Leong ialah pensyarah Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi Mara

* Mohd Safwan Ghazali ialah pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan