X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Nasihat yang tidak perlu dilengahkan

A
A

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin jelas memberi gambaran bahawa tumpuan dan keutamaan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan dengan gelombang pandemik Covid-19.

Keputusan itu juga menunjukkan keprihatinan Seri Paduka dan Raja-raja Melayu terhadap kelangsungan hidup rakyat serta kemaslahatan negara. Persidangan Parlimen bertujuan membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sistem demokrasi berparlimen diletakkan pada tahap tertinggi, selari dengan hasrat memastikan adanya peranan semak dan imbang, sekali gus menjamin tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Justeru, wakil-wakil rakyat haruslah menggunakan platform di Parlimen untuk memenangi hati dan jiwa rakyat, bukannya menjadikan ia pentas untuk menunjukkan kepentingan kuasa politik masing-masing sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Mereka perlu memainkan peranan untuk menyuarakan pelbagai permasalahan menimpa rakyat yang sedang kesempitan dan pada masa sama berusaha memulihkan ekonomi negara.

Ringankan kesusahan dan tekanan rakyat yang perlu bertahan untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga Disember ini jika mengikut pelan Pemulihan Negara. Carilah jalan keluar daripada segala kemelut yang dihadapi ketika ini.

Tumpukan juga kepada proses vaksinasi yang dilihat sebagai antara penyelesaian mengawal penularan pandemik. Jangan ada birokrasi yang melambatkan proses tersebut. Pastikan matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) tercapai secepat yang mungkin. Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan.

Jangan pula nanti masih terdapat pihak-pihak yang bersemangat mencari akuan bersumpah (SD) buat kesekian kalinya dan mendakwa ada angka yang cukup untuk membentuk kerajaan. Berhentilah daripada idea perebutan kuasa.

Jangan bebankan rakyat yang sudah sedia terbeban. Namun, yang menjadi persoalannya kini, bilakah tarikh sebenar persidangan Parlimen akan diadakan?


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!