X

Kindly register in order to view this article
!

UPU Online: Jangan salah pilih kursus

A
A
KIRA-KIRA 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang mendapat keputusan peperiksaan itu baru-baru ini mungkin sedang sibuk mengemas kini atau mengisi permohonan baharu menerusi UPU Online yang dibuka sehingga Isnin depan.

UPU Online ialah sistem permohonan kemasukan pelajar lepasan SPM dan STPM ke program pengajian tinggi di universiti dan institusi kemahiran awam baik peringkat sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.

Selain IPT milik kerajaan, calon juga mungkin sibuk untuk memilih program peringkat diploma dan ijazah di hampir 500 buah IPT swasta di negara ini.Tidak dapat dinafikan, prospek kerjaya merupakan pertimbangan utama apabila memilih bidang pengajian. Apatah lagi kos pengajian sekarang bukannya murah. Di IPT swasta, perbelanjaan RM30,000 demi segulung ijazah sudah dianggap biasa.

Antara ijazah yang dilaporkan paling senang mendapat kerja di Malaysia ialah perubatan dan pergigian dengan kadar penggajian sehingga 95 peratus, sains veterinar (85 peratus), bidang berkaitan perubatan (80 peratus), seni bina dan pembinaan (71 peratus), kejuruteraan dan teknologi (63 peratus), sains komputer (59 peratus), pendidikan (59 peratus), dan pengajian perniagaan (49 peratus).Mencari kerja satu hal, mendapatkan kerja bergaji tinggi pula adalah satu hal yang lain. Inilah juga keluhan seorang lulusan universiti yang dibincangkan para netizen baru-baru ini.

Kisahnya, graduan tadi menghabiskan masa selama dua tahun mengikuti kursus bahasa Jepun di Malaysia, enam tahun lagi untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Jepun.

Malangnya, katanya, dia hanya ditawarkan gaji RM1,900 sebulan sebagai jurutera kilang. Sebab itulah ujarnya ramai lulusan luar negara tak mahu kerja jadi engineer dan lebih rela kerja di bahagian perkhidmatan pelanggan yang boleh dapat RM5,000 sebulan.

Prospek kerjaya kini juga nampaknya telah berubah. Kursus yang diambil di universiti tidak semestinya menentukan bidang pekerjaan seseorang selepas tamat pengajian.

Sebagai contoh, bidang kewartawanan suatu masa didominasi lulusan komunikasi dan penulisan daripada universiti tempatan. Tetapi kemudiannya, siswazah kulinari, pemegang sarjana sains dan graduan perakaunan juga ada yang menjadi wartawan.

Malah, jangan terkejut kerana terdapat lulusan perubatan yang memohon untuk bekerja dalam industri akhbar dan portal berita.

Walaupun pasaran kerja tidak begitu bagus khususnya semasa musim pandemik Covid-19, ia sepatutnya tidak menghalang lepasan SPM menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Hakikatnya, pendidikan tinggi bukan semata-mata mengenai peluang ekonomi. Kajian menunjukkan semakin ramai anggota masyarakat yang berpendidikan, semakin baik masyarakatnya.

Lagipun, pendidikan meningkatkan kualiti hidup seseorang, mewujudkan komuniti yang lebih beradab dan lebih selamat serta memberi kita keselesaan yang tidak dapat kita peroleh jika keadaan sebaliknya.

Jepun merupakan salah sebuah negara yang boleh dicontohi apabila separuh daripada penduduk dewasanya adalah berpelajaran tinggi.

Kalau diamati, kejadian seperti suami kurung isteri kerana tidak menyiapkan sarapan, jiran bergaduh disebabkan pasu bunga dan banyak lagi insiden lain yang disebabkan perkara remeh, mungkin adalah manifestasi masyarakat masih kurang sifat kemanusiaannya.

Kalaupun tidak mendapat pekerjaan seperti yang diharapkan, setidak-tidaknya pendidikan tinggi mampu ‘memanusiakan’ kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan beradab.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!