Tubuh Suruhanjaya Kedaulatan Negara: Pak Wan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kedaulatan Negara bagi memberi kefahaman jelas mengenai prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan termasuk garis panduan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, penubuhan suruhanjaya berkenaan amat penting bagi memastikan prinsip-prinsip utama kepada Perlembagaan Persekutuan, termasuk bidang kuasa institusi diraja dan cabang legislatif, tidak dipersoal sehingga menimbulkan persepsi negatif.

Jelas beliau, susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpandangan sidang Parlimen perlu dibuka segera, ramai pihak termasuk pemimpin politik dan peguam, tidak memahami takrifan sebenar di sebalik hasrat Seri Paduka Baginda dan menterjemahkannya mengikut pemahaman sendiri.

"Ada yang kata kerajaan derhaka, ada yang cakap takut, kerajaan tidak takut untuk kembali adakan sidang Parlimen. Tetapi soal tarikh bila, biarlah Perdana Menteri merafakkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu berdasarkan pembentangan data dan sains.

"Hal itu terkandung dalam Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selaku ketua Jemaah Menteri.

"Bila banyak pihak membuat takrifan Perlembagaan Persekutuan mengikut kefahaman sendiri, persepsi negatif akan timbul dan mengelirukan rakyat di bawah. Sebab itu saya cadang penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Negara," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan pemimpin pembangkang dan UMNO yang mendakwa kerajaan PN masih berdolak-dalik dalam memberi respons terhadap pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar sidang Parlimen wajar diadakan segera.

Pendirian Seri Paduka Baginda itu turut disokong Majlis Raja-Raja Melayu yang turut menitahkan pandangan tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan menjelaskan Seri Paduka Baginda tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan.

Sebaliknya, beliau menegaskan pandangan itu adalah selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sidang Dewan Rakyat itu boleh diadakan paling awal September atau Oktober ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengundang kemarahan pemimpin pembangkang dengan Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis ke atas beliau, manakala Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Takiyuddin sebagai 'penderhaka'.

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan

Ujar Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan, beliau turut berpandangan titah Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang merancang untuk membuka sidang Parlimen pada bulan September atau Oktober hadapan.

Jelas beliau, bukti komitmen kerajaan dapat ditunjukkan menerusi insitiatif kerajaan mengkaji kaedah terbaik membolehkan sidang Parlimen diadakan pada saat pandemik termasuk cadangan sidang Parlimen secara hibrid.

"Bagaimanapun, pada saat pandemik Covid-19 masih belum diatasi sepenuhnya, Perdana Menteri tidak boleh membuat satu keputusan tergesa-gesa yang akhirnya memberi nasihat tidak tepat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita pun tidak mahu apabila sidang Parlimen kembali dibuka serta-merta, kerajaan akan berdepan persepsi layanan dua darjat daripada mereka yang tidak dibenarkan menghadirinya atau lebih teruk, tercetusnya kluster Parlimen," katanya.

Mengulas lanjut mengenai objektif penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Negara, Pak Wan menegaskan ia berfungsi untuk memantau keseimbangan bidang kuasa di antara institusi diraja serta dua cabang lain iaitu legislatif dan kehakiman.

Beliau turut berkeyakinan penubuhan suruhanjaya khas ini mampu mengimbangkan pendapat selain memberi pengetahuan kepada rakyat terhadap hak kerajaan dan hak institusi diraja berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan situasi semasa.

Pandangan Mohd Redzuan itu disokong pakar perlembagaan daripada Universiti Malaysia Perlis (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, keperluan sebuah suruhanjaya khas seperti Suruhanjaya Kedaulatan Negara ditubuhkan amat penting bagi memastikan setiap nilai dan teras Perlembagaan Persekutuan dipatuhi dan difahami sepenuhnya rakyat Malaysia.

"Ketika ini, banyak pihak termasuk peguam sendiri yang mentafsirkan artikel-artikel terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak berasaskan struktur teras Perlembagaan itu sendiri, sebaliknya lebih merujuk sistem Westminster diguna pakai negara Britain.

"Hakikatnya kerajaan Persekutuan menukilkan struktur teras berkenaan dalam lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Kedaulatan Undang-Undang; Keluhuran Perlembagaan dan Kesopanan dan Kesusilaan.

"Sebagai contoh, bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong itu ditakrifkan dengan pelbagai pandangan, sedangkan petunjuk utama yang perlu diikuti semua pihak adalah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

"Justeru, penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Negara amat penting bagi memastikan usaha penghayatan perkara di atas menjadi keutamaan segera agar tiada mana-mana warganegara Malaysia tidak mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan di luar kerangka watan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong, PM perlu runding tarikh buka Parlimen

ARTIKEL BERKAITAN: Buka segera atau tunggu September?

ARTIKEL BERKAITAN: PM boleh ubah tarikh persidangan