Penduduk alami hujan batu

Angin kencang menyebabkan bumbung rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Sidam Kiri.
Angin kencang menyebabkan bumbung rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Sidam Kiri.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Beberapa penduduk di sekitar Kampung Padang Buloh dan Banggol, Sidam Kiri dilanda hujan batu dalam kejadian ribut kira-kira 2.35 petang Khamis.

Kejadian ribut dan hujan batu dikatakan turut melanda beberapa buah kampung sekitar sehingga mengakibatkan pokok tumbang sekali gus menghempap bumbung rumah.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 28 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan akibat kejadian.

Menurutnya, antara kawasan terlibat termasuklah 11 buah rumah di Kampung Padang Buloh, enam di Kampung Banggol, tiga di Kampung Padang Mahligai, enam di Kampung Kubang Sapi, satu di Kampung Alor Perun dan Kampung Olak Madu.

"Kita menerima panggilan kira-kira jam 2.07 petang mengenai kejadian ribut dan angin kencang sehingga menyebabkan pokok tumbang di Kampung Padang Buloh.

"Lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan sekali gus membolehkan laluan dibuka semula,"katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Gambar kejadian hujan batu yang tular di media sosial.
Gambar kejadian hujan batu yang tular di media sosial.

Azahar berkata, laporan dari beberapa mangsa mendakwa bahawa mereka bukan sahaja dilanda kejadian angin kencang dan ribut petir malah kejadian hujan batu seperti yang tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pihaknya turut menerima laporan di Kampung Ekor Lubuk, di mana tiga buah pokok tumbang telah merosakkan beberapa buah rumah, sekitar jam 3.28 petang.

"APM berjaya melaksanakan pemantauan dan menyelesaikan kerja-kerja memotong sisa pokok biarpun berdepan cuaca gelap dan saiz batang pokok yang besar,"katanya.

Dalam perkembangan sama di Merbok, laporan pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang dilaporkan berlaku di Taman Lembah Bujang sekitar 1.05 petang.

Kerja-kerja pembersihan bagaimanapun berjaya dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.