ABIM gesa semua pihak junjung titah Agong, Raja-raja Melayu

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu dalam usaha untuk melindungi nyawa rakyat.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, inisiatif tersebut merupakan satu penzahiran bahawa negara kini berhadapan dengan situasi yang amat kritikal ekoran kegagalan pihak kerajaan selaku cabang eksekutif untuk menyelesaikannya dengan baik.

Justeru, katanya, sidang Parlimen perlu diadakan segera sebagaimana yang digariskan Yang di-Pertuan Agong dalam satu kenyataan pada Rabu.

“ABIM berpandangan bahawa berasaskan titah yang dikeluarkan, ia mengisyaratkan Parlimen harus bersidang segera iaitu sebelum tamatnya tempoh darurat.

“Ini secara jelas dizahirkan di dalam titah yang berhasrat untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Muhammad Faisal berkata, semua pihak juga perlu melibatkan diri secara inklusif dalam usaha melandaikan penularan wabak Covid-19 sebagaimana kenyataan Majlis Raja-raja Melayu.

“Penglibatan ini tidak sahaja terhad dalam bentuk sumbang saran. Prosedur birokrasi perlu dikurangkan untuk membolehkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, tanpa mengira pada kedudukan parti mendapat akses terus pada vaksin untuk disampaikan kepada rakyat di akar umbi.

“Pandangan ini juga selaras dengan gesaan Yang di-Pertuan Agong iaitu kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu perlu dijunjung tanpa sebarang dalih kerana ia melibatkan persoalan hidup mati rakyat Malaysia.