Usaha galakkan vaksinasi perlu ditingkatkan di pedalaman Sabah, Sarawak

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Semua pihak perlu bekerja keras bagi mengatasi pelbagai halangan yang dihadapi dalam usaha menggalakkan vaksinasi Covid-19, terutama dalam kalangan penduduk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, bagi mencapai imunisasi berkelompok secepat mungkin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, di Sabah dan Sarawak, isu sebenar adalah berhubung pendaftaran kerana tidak ramai orang yang mempunyai akses kepada MySejahtera disebabkan oleh ketersambungan internet yang lemah terutama di luar bandar, yang menjadikan usaha menggalakkan vaksinasi perlu ditingkatkan.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu di kabinet kerana menurutnya usaha menggalakkan orang ramai untuk mendaftar bagi vaksinasi terutama menerusi MySejahtera tidak akan berjaya, sekiranya mereka tidak mempunyai kemudahan internet.

Ongkili juga berkata kerajaan persekutuan dan negeri perlu menguruskan data pendaftaran vaksin orang ramai dengan baik bagi membolehkan semua pihak mendapat akses kepada suntikan vaksin dengan mudah dan pantas.

"Kita perlu menguruskan data dengan baik, supaya apabila nama mereka (untuk vaksinasi) naik, mereka akan tahu, dan tampil; dan mereka juga perlu tahu prosedur untuk mendapatkan vaksin itu sekiranya mereka terlepas janji temu yang ditetapkan... Kabinet telah mengambil maklum semua ini dan sedang bekerja keras untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya dalam persidangan media hari ini.

Terdahulu Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) merasmikan Kongres Perwakilan tahunan parti ke-35 yang dihadiri 640 perwakilan daripada 57 bahagian, yang berlangsung secara maya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Naib Presiden PBS, dan Setiausaha Agung parti Datuk Joniston Bangkuai. Beliau berkata, PBS juga akan memainkan peranan dalam usaha mengalakkan vaksinasi.

"Di sinilah bahagian-bahagian PBS boleh memainkan peranan dengan berusaha memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan vaksinasi, dan memastikan mereka mendaftar, di samping bekerjasama rapat dengan mereka yang terlibat, seperti Pegawai Daerah misalnya supaya mereka dapat bersama berusaha memastikan penduduk setempat mendaftar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), 282,798 individu atau 10.25 peratus penduduk Sabah telah menerima vaksin, manakala di Sarawak 438,621 individu atau 21.47 peratus penduduknya telah menerima vaksin.- Bernama