Mekanisme tangani isu pemerdagangan seks kanak-kanak dikaji

CERIA... Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Pengerusi Persatuan Fui Chui Balakong, Yap Wei Leong (tiga, kanan) ketika sesi Lou Sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Balakong 2019, hari ini.- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji mekanisme terbaik dalam menangani isu pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak yang menyasarkan Malaysia untuk kegiatan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan memandang berat isu tersebut serta turut bersama-sama negara jiran dalam memerangi penularan kegiatan sumbang itu.

“Perincian lebih teliti akan dilakukan bagi memastikan negara tidak menjadi destinasi pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak seperti yang dihadapi negara jiran lain.

“Kerajaan akan mengetatkan apa sahaja peraturan bagi memelihara anak-anak kita daripada menjadi mangsa seks,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Balakong 2019 dekat sini, malam ini, yang dihadiri lebih 2,000 tetamu.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan Malaysia semakin menjadi sasaran sindiket pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak berikutan negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Filipina telah mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan itu.

Menurut laporan tersebut yang memetik seorang aktivis kumpulan hak asasi manusia, sindiket itu juga banyak menyasarkan kanak-kanak lelaki melibatkan kawasan Bukit Bintang, Brickfields, Pasar Seni dan Ampang di ibu negara. - Bernama