X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar cemerlang STAM bangkit selepas gagal

I'zzah I'zzati bersama keputusan STAM yang diperoleh ketika ditemui di kediamannya di Kg Jati, Gong Badak pada Khamis.
A
A

KUALA NERUS - Pelajar cemerlang yang memperoleh sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bangkit daripada kegagalan setelah pernah memperoleh pangkat Rasid (gagal) dalam peperiksaan peringkat percubaan.

I'zzah I'zzati Mohd Noorizuddin, 19, berkata, dia memanfaatkan tempoh terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu bagi mengukuhkan hafazan sebelum menduduki peperiksaan.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk di Kuala Terengganu itu berkata, kejayaan diperoleh amat bermakna setelah bertungkus lumus belajar di rumah akibat pandemik Covid-19.

“Saya pernah dapat pangkat Rasid (gagal) bagi satu subjek dalam peperiksaan awal tahun menyebabkan keputusan yang saya peroleh bagi ujian STAM ketika itu gagal dan tidak cemerlang.

“Dari situ saya mula bangkit dan manfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk menelaah pelajaran di samping mengamalkan solat malam (qiamullail) serta solat sunat sebelum subuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Jati, Gong Badak di sini pada Khamis.

I'zzah I'zzati bersama bapanya, Mohd Noorizuddin dan ibunya, Zaitun Samae berkongsi kegembiraan setelah mendapat keputusan cemerlang dalam STAM.
I'zzah I'zzati bersama bapanya, Mohd Noorizuddin dan ibunya, Zaitun Samae berkongsi kegembiraan setelah mendapat keputusan cemerlang dalam STAM.

Selain itu, menurut I'zzah, dia sebolehnya menjaga aurat ketika menelaah pelajaran bagi memudahkan proses hafazan.

“Biasanya ketika mengulangkaji ilmu agama saya sebolehnya akan menutup aurat untuk mendapat keberkatan sekali gus memudahkan saya mengingati pelajaran,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Ibunya, Zaitun Samae, 49, merupakan suri rumah dan bapanya, Mohd Noorizuddin Kamaruddin, 47, seorang peniaga.

Sementara itu, Zaitun berkata, dia tidak pernah menggunakan pendekatan memaksa anak-anaknya dalam pelajaran, cuma akan sentiasa memantau dan menegur sekiranya ada berbuat salah.

“Sejak kecil saya tidak pernah paksa anak-anak belajar. Waktu mereka kecil dahulu memang hidup agak sukar dan saya pula bekerja namun ketika itu saya mengambil berat pelajaran mereka.

“Sekarang mereka sudah besar, saya hanya lebih kepada menasihati supaya tidak tinggalkan solat dan patuh perintah agama,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!