Pemuda UMNO Perak lapor polis poster 'sardin' hina MB

Mohd Ariff (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada Khamis.
Mohd Ariff (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pemuda UMNO Perak pada Khamis membuat laporan polis berhubung dua hantaran berunsur fitnah dan menghina Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad di laman sosial.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, hantaran berbentuk poster sindiran itu menjadi tular sehingga Saarani menerima kecaman pengguna media sosial yang mendakwa pemimpin berkenaan bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar-pelajar miskin di Perak.

Beliau berkata, selepas menonton semula video sidang akhbar berhubung pemberian telefon pintar itu, ungkapan tertera pada poster yang dimuat naik itu didapati tidak benar kerana tidak pernah disebut oleh Saarani.

"Dalam video itu, beliau sekadar memberi analogi mengenai sumbangan telefon pintar yang diberikan Yayasan YTL kepada kerajaan negeri Perak untuk disumbangkan kepada pelajar-pelajar miskin.

"Adalah amat jelas poster yang dimuat naik itu bersifat fitnah dan secara sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian. Oleh itu, laporan polis ini dibuat agar siasatan dapat dilakukan oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, satu poster tular di media sosial menggunakan gambar dan nama Menteri Besar Perak itu dengan tertera ayat "Kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak".

Poster berkenaan turut dikongsi pengguna sosial melalui pelbagai platform sehingga turut mendapat perhatian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yang mengecam perbuatan tersebut.

Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Khamis berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pengamal media dan netizen melontarkan pelbagai tohmahan kepada pemimpin yang sedang dalam usaha meringankan beban rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku ketika semua pihak saling berusaha membantu golongan memerlukan serta terjejas akibat pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan Perak terima sumbangan telefon pintar tanpa bayaran'

Bersatu pertahan MB Perak