MYCC rayu mahkamah cadangan denda Grab RM86.77 juta

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Grab Holdings Inc dan dua anak syarikatnya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan suruhanjaya itu mendenda mereka sebanyak RM86.77 juta.

MyCC memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan pada 18 Mei lepas melalui firma guaman Tetuan Lim Chee Wee Partnership.

Pada 19 April lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah memberi kebenaran kepada Grab Holdings, GrabCar Sdn Bhd dan MyTeksi Sdn Bhd memulakan semakan kehakiman berhubung cadangan MyCC untuk mendenda syarikat perkhidmatan e-hailing itu yang didakwa telah menyalahgunakan kedudukannya yang dominan.

Mahkamah Rayuan telah memerintahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran berhubung merit semakan kehakiman tersebut.

Hanipah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Grab dan anak syarikatnya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memihak kepada mereka.

Dalam permohonan itu, MyCC meminta mahkamah memberikan kebenaran kepada suruhanjaya itu mengemukakan rayuan berhubung beberapa isu undang-undang yang mempunyai kepentingan awam.

Pada prosiding pengurusan kes itu hari ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee mengarahkan MyCC memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 8 Julai dan menetapkan 14 Sept sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Peguam Annabel Tan mewakili MyCC manakala Grab Holdings dan anak syarikatnya diwakili Nimraat Kaur.

Artikel Berkaitan:

MyCC mendakwa Grab telah menyalahgunakan kedudukannya yang dominan dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya bagi menghalang mereka mempromosi pesaing syarikat itu di platform e-hailing.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Grab dan anak syarikatnya untuk mendapatkan kebenaran memfailkan semakan kehakiman itu selepas memutuskan bahawa langkah tersebut adalah pramatang kerana keputusan berhubung cadangan MyCC belum dimuktamad. -Bernama