Rakyat adalah bos saya: Bossku

A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan maksud sebenar perkataan ‘bossku’ yang kini sinonim dengan dirinya.

Menurutnya, jika di Sabah maksud ‘bossku’ adalah ‘kawanku’ namun perkataan tersebut membawa makna lain kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Bila kata ‘bossku’ kepada saya, ia mengingatkan diri saya bahawa bos saya sebenarnya adalah rakyat.

“Jadi bila kata bossku, bukan bos sebenarnya tapi rakyat jadi bos kita. Sebagai pemimpin BN, kita perlu sedar bahawa rakyat adalah bos kita.

“Jangan berlagak, sombong, jangan ego. Kita perlu faham bahawa rakyat tentukan masa depan kita,” katanya ketika berucap di Bandar Rinching, di sini, malam ini.

Najib turut menerangkan maksud ‘malu apa bossku’ yang kini menjadi sebutan setiap kali menghadiri program bekas Presiden UMNO itu.

Menurutnya, ia bukanlah bermaksud tidak tahu malu sebaliknya rasa kesyukuran terhadap nikmat ALLAH berikan kepada kita.

“Kalau ada kedai, kereta, rumah kecil pun, kita tak perlu berasa malu. Kita perlu bersyukur dengan apa yang kita dapat, ALLAH berikan kepada kita.

“Sebab itu bila kita kata ‘malu apa bossku’, bukan tiada rasa malu tapi rasa kesyukuran atas nikmat tuhan berikan kepada kita,” ujarnya.

Tambah Najib lagi, pihak lawan kini bengang kerana tidak tahu bagaimana untuk melawan fenomena ‘bossku’.

“Sebab itu dia dah bengang bagaimana nak melawan ‘bossku’. Rakyat tak sambut ‘Hidup BN’ tapi kata bossku, boss kita malu apa bossku.

“Tidak apalah nak kata bossku pun asalkan BN menang pada 2 Mac nanti,” katanya.