X

Kindly register in order to view this article
!

Dapatkan kebenaran polis sebelum angkut barang

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A

PUTRAJAYA - Para pengeksport, pengimport dan operator gudang perlu mendapatkan kelulusan pihak polis dengan menggunakan dokumen berkaitan kargo mereka sebagai bukti, sebelum melakukan aktiviti berkaitan memunggah barangan bukan keperluan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, senarai pekerja yang terlibat juga perlu disertakan kerana jumlah pekerja yang dibenarkan adalah dihadkan, dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

“Kelulusan polis ini, boleh digunakan sebagai kebenaran pergerakan untuk pekerja di sekatan jalan raya dan perlu ditunjukkan kepada pegawai penguatkuasa, ketika menjalankan aktiviti memunggah di premis syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Perkara ini berikutan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pengeksport dan pengimport untuk melakukan kerja-kerja memunggah barangan bukan keperluan dari jam 8 pagi ke 8 malam pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat bermula esok (18 Jun), bagi melegakan situasi yang dihadapi pengusaha logistik dan mengurangkan kapasiti di pelabuhan dan juga lapangan terbang.

Aktiviti adalah terhad kepada memunggah barangan sama ada menaikkan atau menurunkan kargo dari, dan ke kilang, pelabuhan dan lapangan terbang untuk import dan eksport. Aktiviti ini termasuklah mendapatkan kelulusan, perancangan, pergerakan barangan, operasi forklift, mengangkut naik dan menurunkan barangan.

Wee berkata, operasi juga membenarkan pergerakan barangan bukan keperluan, yang terhad kepada untuk simpanan dan juga mengimport dan eksport ke negara jiran.

Bagaimanapun beliau berkata, operasi untuk barangan perlu yang telah mendapat surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tidak tertakluk kepada aturan ini.

Menurut Wee, keputusan untuk membenarkan aktiviti ini diputuskan, selepas pertimbangan untuk mengimbangi kenaikan kes Covid-19 dan keperluan memastikan pergerakan yang mencukupi dan tidak terganggu, barangan untuk pasaran konvensional dan aktiviti e-dagang.

Wee berkata, kebenaran yang sama telah diberikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 tahun lepas, dan menyatakan yang kementeriannya akan terus memantau situasi itu secara dekat bagi memastikan pergerakan barangan dan kargo tidak terjejas, dan secara umumnya untuk mengurangkan kejutan pada pasaran.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!