Pelaburan lebih RM40 bilion diharap jadi kenyataan

Nor Azrina Surip
Nor Azrina Surip
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jumlah pelaburan tertinggi dicatatkan Kedah sebanyak RM43 bilion bagi suku pertama tahun ini, diharap menjadi kenyataan dan bukanlah sekadar omong kosong.

Ahli Parlimen Merbok merangkap Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Nor Azrina Surip berkata, meskipun jumlah pelaburan ini dinilaikan sebagai 'approved investment' bukan lagi 'actual investment', namun ia merupakan khabar gembira buat rakyat Kedah.

Menurutnya, kegembiraan itu haruslah dibuktikan dengan kesungguhan dan keazaman kerajaan negeri untuk menjadikan ia realiti serta mampu direalisasikan, bukan sekadar penyedap halwa telinga, demi kepentingan rakyat Kedah secara keseluruhannya.

"Pencapaian ini merupakan sejarah kerana selama ini Kedah sentiasa tercorot berbanding negeri lain dari segi pertumbuhan ekonomi, rizab dan sumber pendapatan yang terhad serta pada masa sama perlu mengekalkan status sebagai negeri jelapang padi bagi menjamin bekalan makanan negara," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Nor Azrina, situasi wabak Covid-19 yang masih belum berpenghujung menjadi cabaran kepada kerajaan negeri melaksanakan pembangunan bagi merancakkan ekonomi negeri sekali gus beri manfaat buat negara.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, beberapa perkara harus dititik beratkan kerajaan negeri antaranya program vaksinasi perlu dipertingkatkan secara agresif selari dengan pembukaan sektor sosioekonomi secara bersasar.

"Statistik kematian yang tinggi, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung-sambung dan berterusan bukan sahaja memberi kesan ekonomi terhadap keluarga terjejas malah tekanan mental dan spiritual seseorang individu.

"Ia hanya mampu menjadi kenyataan sekiranya Covid-19 mampu ditangani dengan baik, tiada kerenah birokrasi dalam urus tadbir, tiada amalan rasuah serta tiada pengabaian terhadap projek pemulihan membabitkan keperluan asas rakyat seperti bekalan air negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kedah mencatat rekod tertinggi nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM43 bilion bagi suku tahun pertama tahun ini, mengatasi beberapa negeri perindustrian utama Malaysia.

Lima negeri tertinggi nilai pelaburan dicatatkan bermula Kedah sebanyak RM43 bilion diikuti oleh Selangor RM8.6 bilion, Sarawak RM6.9 bilion, Sabah RM5 Billion dan Kuala Lumpur RM4.9 Billion menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan Malaysia bernilai RM80.6 bilion.