Bursa Malaysia ditutup rendah

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini.
Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini.
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah hari ini dengan kemunculan aktiviti pengambilan untung yang berterusan di kaunter-kaunter seperti produk pengguna dan perkhidmatan serta kewangan seiring dengan sentimen lemah di pasaran serantau, kata para peniaga.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.46 mata kepada 1,570.86 daripada penutupan urus niaga Rabu pada paras 1,578.32.

Indeks utama itu dibuka 0.43 mata lebih tinggi pada 1,578.75 hari ini dan berlegar antara 1,568.67 dan 1,578.75 sepanjang urus niaga.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 611 berbalas 361 manakala 454 kaunter tidak berubah, 739 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 4.26 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 4.69 bilion unit bernilai RM3.14 bilion semalam.

Nestle dan Hong Leong Financial adalah antara penyumbang utama kepada kemerosotan indeks penanda aras selepas masing-masing susut 20 sen dan 18 sen kepada RM134.40 dan RM17.98.

Seorang penganalisis berkata kebanyakan pasaran saham Asia menyusut hari ini, mengambil petunjuk daripada kelemahan semalaman Wall Street selepas Rizab Persekutuan AS membayangkan ia mungkin melonggarkan rangsangan ekonomi lebih awal daripada jangkaan ramai.

Pedagang ActivTrades Anderson Alves berkata saham-saham Asia agak terkebelakang pada urus niaga Khamis selepas keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang menyaksikan dasar ketat Rizab Persekutuan dengan mengunjurkan kenaikan 50 mata asas untuk tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

“Kecenderungan untuk menaikkan kadar faedah menyaksikan kegiatan jualan di pasaran ekuiti dan hutang global sementara indeks dolar AS melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan," katanya.

Sementara itu, saham berwajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM8.17, Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.19, Petronas Chemicals susut 3.0 sen kepada RM8.08, TNB menyusut 7.0 sen kepada RM9.95 tetapi IHH Healthcare meningkat 1.0 sen kepada RM5.68.

Bagi saham aktif, MMAG tidak berubah pada 19 sen, KNM naik setengah sen kepada 20.5 sen, Censof menambah 3.5 sen kepada 50.5 sen dan QES turun 1.5 sen kepada 83.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 36.77 mata kepada 11,485.88, Indeks FBMT 100 turun 36.64 mata kepada 11,173.73 dan FBM ACE merosot 59.20 mata kepada 7,576.09.

Indeks FBM Emas Syariah menyusut 54.24 mata kepada 12,614.06, sementara FBM 70 menambah 14.47 mata kepada 14,982.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 13.82 mata kepada 15,294.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah 0.87 mata kepada 191.76, tetapi Indeks Perladangan naik 9.58 mata kepada 6,543.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 2.76 bilion saham bernilai RM2.3 bilion daripada 3.41 bilion saham bernilai RM2.74 bilion pada penutupan Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 220.23 juta unit bernilai RM26.1 juta daripada 274.53 juta unit bernilai RM31.73 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.27 bilion saham bernilai RM418.02 juta berbanding 1.00 bilion saham bernilai RM364.48 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna terdiri daripada 428.76 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (877.70 juta), pembinaan (104.56 juta), teknologi (413.67 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.13 juta), hartanah ( 227.69 juta), perladangan (32.38 juta), REIT (40.59 juta), dana tertutup (1,700), tenaga (343.24 juta), penjagaan kesihatan (51.54 juta), telekomunikasi dan media (53.13 juta), pengangkutan dan logistik (133.91 juta) dan utiliti (29.55 juta). -Bernama