Harimau Malaya selamat tiba di KLIA

Skuad Harimau Malaya selamat tiba di tanah air tengah hari tadi selepas hampir sebulan 'berkampung' di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Foto Twitter FA Malaysia
Skuad Harimau Malaya selamat tiba di tanah air tengah hari tadi selepas hampir sebulan 'berkampung' di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Foto Twitter FA Malaysia
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya selamat tiba di tanah air tengah hari tadi selepas hampir sebulan 'berkampung' di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Pasukan negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan sewa khas Malaysia Airlines berlatarbelakangkan liveri Harimau Malaya, demikian menurut hantaran di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Terdahulu, pesawat tersebut menurunkan 13 pemain negara yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) di Bangkok untuk menyambung tugasan bersama pasukan menghadapi saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijadual bermula Selasa depan.

Hanya lapan pemain negara meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur sementara baki lima pemain yang berpangkalan di luar negara telah pulang ke destinasi masing-masing secara berasingan, semalam.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe menamatkan saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi semalam.

Kedudukan itu membolehkan Malaysia yang mengumpul 12 mata melangkah secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung antara Februari dan Mac tahun depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: