PKPD di sembilan rumah panjang, asrama pekerja asing

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Matu, Sarawak serta asrama pekerja asing di Segamat, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 19 Jun hingga 2 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan melibatkan Rumah Panjang Salim anak Unang; Rumah Panjang Judy anak Kudi; Rumah Panjang Mathew anak Merang; Rumah Panjang Danggang anak Ujang; Rumah Panjang Lait anak Ijang dan Rumah Panjang Chandi anak Kilau.

Selain itu, beliau berkata, Rumah Panjang Putut anak Jugah, Rumah Panjang Sadin anak Jeli dan Rumah Panjang Mador anak Rendah turut dikenakan PKPD.

“Seramai 84 penghuni telah disaring dan daripada jumlah ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 48 kes positif Covid-19. KKM juga mendapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

“Justeru, pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk memudahkan pengesanan awal kes positif sekali gus membendung penularan wabak itu secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail berkata, satu lokaliti di Johor juga turut dikenakan PKPD membabitkan asrama pekerja asing dan kawasan kilang Wah Cens Plastic Industries serta Rainbow Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan apabila sebanyak 52 kes positif Covid-19 setelah membuat ujian saringan kepada 488 individu.

“Justeru, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan ini bermula 19 Jun sehingga 2 Julai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, tempoh PKPD di tiga lokaliti di Sabah juga dilanjutkan mulai 19 Jun hingga 2 Julai membabitkan dua di Tawau iaitu kawasan Semarak dan Taman Wawasan, manakala satu lagi di Kampung Pengaraban, Kudat.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di ketiga-tiga kawasan ini dan ia sepatutnya tamat pada 18 Jun (Jumaat),” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata, sebanyak enam lokaliti di Sabah, Terengganu dan Sarawak telah pun ditamatkan PKPD.

Ujarnya, lokaliti di Sabah itu melibatkan dua di Kota Kinabalu iaitu Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan, manakala dua lokaliti lagi melibatkan di Tawau iaitu Taman Milenium dan Kampung Jawa Kongsi 10.

“Selain itu, di Terengganu pula membabitkan daerah Besut dan satu lagi di Sarawak membabitkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah,” katanya.

Tambah Ismail, seramai 764 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara pada Rabu.

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, seramai 722 individu dikompaun manakala 42 lagi individu direman.