Eksport getah asli dikurangkan 200,000 hingga 300,000 tan metrik

Eksport getah asli dikurangkan 200,000 hingga 300,000 tan metrik

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) telah memutuskan bahawa Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) akan dilaksanakan untuk mengurangkan eksport dari Thailand, Indonesia dan Malaysia (TIM) sebanyak 200,000 hingga 300,000 tan metrik.

Dalam satu kenyataan bersama, ITRC berkata, para pegawai kanannya akan membincangkan butiran terperinci pelaksanaan AETS dalam tempoh dua minggu lagi di Thailand.

"Negara-negara anggota juga akan terus melaksanakan projek-projek di bawah Skim Promosi Permintaan (DPS) yang akan meningkatkan penggunaan domestik dengan ketara," kata majlis itu.

ITRC berkata, Thailand telah melaksanakan projek DPS yang akan menggunakan 270,000 tan metrik getah tambahan, iaitu tambahan kepada 700,000 tan getah dijangka untuk penggunaan tetap tahunannya.

Thailand juga turut melaksanakan Operasi Pasaran Strategik (OPS) menerusi enam pasaran getah fizikal yang membawa kepada kenaikan harga getah asli (NR) di pasaran domestik

“Pelaksanaan OPS ini telah meningkatkan jumlah dagangan getah fizikal pada 2018 sebanyak 105,600 tan metrik dengan jumlah nilai AS$225 juta (AS$1 = RM4.07), " kata ITRC.

Mesyuarat jawatankuasa menteri itu yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini telah dihadiri menteri dari Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, majlis itu berkata , Malaysia akan meneruskan projek turapan jalan getahnya dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM100 juta oleh kerajaan Malaysia untuk penyenggaraan dan pembinaan jalan raya menggunakan campuran dengan sekerap getah di pelabuhan dan kawasan perindustrian.

Artikel Berkaitan:

Bagi Indonesia, getah asli digunakan dalam pelbagai projek infrastruktur seperti jalan provinsi dan daerah di seluruh negara, penyerap hentak landasan keretapi, pemisah jalan raya, penggunaan galas getah redaman tinggi di jambatan dan tayar celup.

ITRC juga berkata, menteri-menteri dalam mesyuarat itu komited untuk meneruskan dan menambah baik pelaksanaan Skim Pengurusan Pembekalan untuk mencapai keseimbangan jangka panjang dalam permintaan dan bekalan getah asli.

Thailand telah meneruskan penanaman semula pokok getah sebanyak 65,000 hektar setahun manakala Indonesia akan memulakan penanaman semula pokok getah yang meliputi 50,000 hektar setahun dan Malaysia akan melaksanakan program penanaman semula yang melibatkan 25,000 hektar setahun.

Mesyuarat itu juga membincangkan mengenai masa depan Pasar Getah Serantau (RRM) sebagai pasaran niaga hadapan dan penubuhan pusat penimbangtaraan untuk menyokong RRM.

ITRC berkata, para menteri juga telah bersetuju untuk mencadangkan penubuhan Majlis Getah ASEAN sebagai sebuah platform membincangkan pembangunan industri getah asli dan kerjasama dengan negara ASEAN dan rakan dialog ASEAN yang lain. - Bernama