STAM 2020: Seramai 27 calon dapat gred Mumtaz

Pkharuddin Ghazali - Foto Bernama
Pkharuddin Ghazali - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 27 daripada 5,589 calon atau 0.5 peratus memperoleh gred Mumtaz (cemerlang) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang berlangsung secara normal baharu ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (LPKPM), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, keputusan itu menjadi penanda aras baharu untuk pencapaian peperiksaan berkenaan kerana menggunakan format dan sukatan mata pelajaran baharu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 227 calon atau 4.1 peratus lagi mendapat gred Jayyid Jiddan (sangat baik).

"Pelajar memperoleh pangkat Jiddan (baik) dan Maqbul (lulus) pula masing-masing seramai 926 calon (16.6 peratus) dan 2,477 calon (44.4 peratus), sementara seramai 1,891 calon (33.9 peratus) mendapat Rasib (tidak lulus).

"Dengan pencapaian itu, indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang direkodkan bagi STAM 2020 ialah 3.04," katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan STAM 2020 secara dalam talian pada Khamis.

Pkharuddin bagaimanapun berkata, perbandingan keputusan STAM 2020 dengan STAM 2019 tidak boleh dibuat kerana ia menggunakan format dan kurikulum yang berbeza.

Sementara itu, beliau berkata, empat daripada 10 mata pelajaran mengalami perubahan format iaitu subjek 'Arudh dan Qafiyah bagi bidang Bahasa Arab; Tafsir dan Ulumuhu serta Tauhid dan Mantiq (bidang Usuluddin) dan Fiqh (bidang Syariah).

"Sebelum ini subjek 'Arudh dan Qafiyah menggunakan format objektif aneka pilihan (OAL) dan subjektif. Mulai tahun 2020, ia berubah kepada subjektif dan kerja kursus.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga bagi tiga lagi subjek lain yang berformat objektif pelbagai bentuk (OPB) dan subjektif yang diubah kepada OAP dan subjektif," katanya.

Menyentuh mengenai pengurusan dan pengendalian STAM dalam normal baharu, beliau menjelaskan, peperiksaan STAM 2020 merekodkan sejarah tersendiri kerana ditunda sebanyak tiga kali sebelum dilangsungkan pada 29 Mac hingga 7 April lalu.

Menurutnya, pada awalnya seramai 7,277 calon telah mendaftar peperiksaan tersebut.

"Daripada jumlah itu, seramai 5,574 calon menduduki peperiksaan STAM bagi sesi pertama di 236 pusat peperiksaan melibatkan seramai 1,144 petugas," katanya.

Kata beliau, peperiksaan sesi kedua pula melibatkan seramai 15 calon dan 36 petugas di sembilan pusat peperiksaan.

"Pengurusan dana pengendalian STAM 2020 berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan peperiksaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"SOP yang perlu dipatuhi itu antaranya perlu menyemak tahap kesihatan, menyerahkan borang deklarasi saringan Covid-19 sebelum memasuki dewan peperiksaan dan mengekalkan jarak 1.5 meter atau lebih antara meja peperiksaan," katanya.

Bagi calon yang tidak dapat hadir disebabkan positif Covid-19 atau dikuarantin pada sesi pertama, katanya, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan setelah disahkan sihat oleh doktor.

Tambah beliau, kehadiran calon pada STAM 2020 ialah sebanyak 83.39 peratus, iaitu meningkat 16.6 peratus berbanding tiga tahun lepas.

"Keadaan ini menjadi petanda baik kerana menunjukkan calon mempunyai keyakinan untuk berada di dewan peperiksaan walaupun dalam tempoh pandemik sekarang.

"Selain itu, dalam STAM 2020 juga, kita melakukan pembaharuan dalam pengurusan peperiksaan untuk memastikan kelancaran pentadbiran peperiksaan, pada masa sama mengurangkan pergerakan pemeriksa bagi mengekang penularan Covid-19.

"Apa yang kita lakukan adalah dengan melakukan pemeriksaan skrip jawapan secara dalam talian menerusi sistem LPSkor, proses pengeluaran keputusan disingkatkan dan semakan keputusan secara dalam talian sama ada melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau menerusi laman sesawang," katanya.