Kaedah campuran dua vaksin belum muktamad: Khairy

Khairy (tengah) bersama Ahmad Samsuri (kiri) menyantuni warga emas, Kee Kim Tian, 91 yang mendapatkan suntikan vaksin di PPV Stadium Gong Badak, Kuala Nerus pada Khamis.
Khairy (tengah) bersama Ahmad Samsuri (kiri) menyantuni warga emas, Kee Kim Tian, 91 yang mendapatkan suntikan vaksin di PPV Stadium Gong Badak, Kuala Nerus pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan belum memuktamadkan kaedah suntikan melibatkan campuran dua vaksin atau heterologi membabitkan AstraZeneca dan Pfizer.

Menteri Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kaedah campuran pengambilan dua dos vaksin itu kini masih di peringkat kajian.

"Kita dibentangkan mengenai kaedah tersebut oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dua minggu lalu, tetapi belum dimuktamadkan lagi oleh jawatankuasa kumpulan kerja teknikal.

"Difahamkan langkah sama juga telah dilaksanakan di beberapa buah negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Gong Badak, disini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan akan menambah lebih 200,000 dos vaksin ke Terengganu bagi membolehkan lebih ramai penduduk negeri ini mendapatkan suntikan vaksinasi.

Katanya, peningkatan penghantaran vaksin ke negeri ini dijangka menambah bilangan penerima vaksin sehingga 12,000 sehari.

"Kerajaan akan meningkatkan penghantaran vaksin ke Terengganu bermula Julai memandangkan kadar penggunaan vaksin yang dibekalkan di Terengganu merupakan antara yang tertinggi di negara.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah dos yang akan dihantar akan dibincangkan dan muktamadkan selepas ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memberi satu suntikan dos vaksin Covid-19 CanSino kepada setiap penduduk di kawasan pulau.

"Kita akan berbincang dengan 'mobile outreach team' untuk proses vaksinasi serta jumlah dos yang akan diterima bagi mereka yang tinggal di pulau-pulau di negara ini.

"Sebelum ini kita telah berbincang untuk memberikan satu dos ke Sabah dan Sarawak serta ke kawasan pedalaman. Mungkin ke pulau juga kita akan hantar vaksin CanSino bermula Julai," katanya.

-ENDS-