Empat ahli kongsi gelap Geng 36 dituduh samun RM500,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Empat ahli kongsi gelap Geng 36 termasuk dua beradik dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan sebilah parang awal bulan ini.

Tertuduh, M Murali, 32, serta K K Anbu Kaniyan, 26, dan pasangan adik beradik, M Jeyamurugan, 37, bersama adiknya Rejenderan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompak berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap mangsa Lee See Kiat, 54, dan mengambil harta melibatkan kerugian kira-kira RM500,000.

Antara barangan yang diambil termasuklah sebatang taring dan kuku binatang, 13 bilah pedang pelbagai jenis, seutas jam Patek Philippe, sebuah bekas tertera tulisan Doshermano di dalamnya mengandungi cerut berwarna coklat dan empat bilah keris.

Tindakan itu dilakukan kira-kira jam 10.30 malam di Kondominium Lagenda Jalan Klebang Besar/ Kecil, dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, manakala hukuman wajib sebat bagi Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan memaklumkan mangsa kejadian merupakan kenalan kepada salah seorang tertuduh dan bimbang dengan keselamatan mangsa selain tertuduh turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Tertuduh yang diwakili peguam Alif Ahmad Tarmizi, bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan masing-masing, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap seorang tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 21 Julai depan sebagai sebutan semula kes. - Bernama