Malaysia perlu laksana langkah inovatif untuk pulih ekonomi: RTBA

- Foto 123RF
- Foto 123RF
A
A
A

KERAJAAN perlu melaksanakan langkah inovatif untuk mendapatkan semula kos berbilion ringgit yang dibelanjakan semasa pandemik bagi membantu pemulihan ekonomi, kata Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia).

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin dalam satu kenyataan menjelaskan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun memperincikan Pelan Pemulihan Negara untuk membawa negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi menjelang akhir tahun ini.

Pertubuhan bukan kerajaan itu menyokong dasar pengawalseliaan, kewangan serta percukaian yang efektif yang memberi kesan kepada peruncit dan jenama, mengesyorkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan di Malaysia.

"Antaranya, kita boleh cuba meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI). Malaysia perlu mereka bentuk dasar yang sesuai yang mampu menarik pelaburan semasa pandemik dan seterusnya.

"Kemudian, kita boleh mewujudkan aliran pendapatan baharu yang boleh menjana pendapatan negara dengan mengawal selia industri rokok elektronik dan memperluaskan rangka kerja percukaian yang kini hanya mengehadkan peranti rokok elektronik dan e-cecair bukan nikotin," katanya.

Fazli memetik laporan yang menyebut industri rokok elektronik Malaysia adalah bernilai RM2.27 bilion dan berpotensi berkembang kepada RM10 bilion dalam beberapa tahun akan datang jika e-cecair nikotin dibenarkan dijual secara bersyarat.

"Ini akan membuka jalan yang lebih luas kepada peneraju tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengembangkan jejak perniagaan mereka.

"Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperluaskan rangka kerja percukaian untuk e-cecair rokok elektronik bagi merangkumkan e-cecair beserta nikotin yang membentuk 97 peratus pasaran Malaysia untuk memperoleh kira-kira RM300 juta dalam bentuk duti eksais pada tahun pertama sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Langkah-langkah lain yang boleh dipertimbangkan oleh Malaysia adalah menghidupkan semula sektor pelancongan, katanya.

"Pelancongan sedang berada di persimpangan jalan dan langkah-langkah yang dilaksanakan hari ini akan memberi acuan kepada pelancongan pada masa hadapan.

"Kerajaan perlu mempertimbangkan implikasi jangka panjang terhadap krisis ini dan mula menaruh langkah-langkah bagi menggalakkan transformasi struktur yang diperlukan untuk membina semula ekonomi pelancongan yang lebih kukuh, lebih mampan dan berdaya tahan," katanya. - Bernama