X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Lelaki tangan bergari larikan diri terjun sungai, masuk hutan

Gambar hiasan
A
A

GUA MUSANG - Polis sedang memburu seorang lelaki yang melarikan diri dengan tangannya bergari selepas ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes curi dan pecah masuk rumah di Kampung Jias C, Kuala Betis dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 24 tahun tersebut ditahan dan digari pada jam 12.30 tengah malam di sebuah kedai runcit kerana dipercayai menjual barang curi, namun dia berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam Sungai Betis di kampung itu sebelum masuk ke hutan.

"Suspek dipercayai menjual barangan curi termasuk tong gas di sebuah kedai runcit dan barangan terbabit dipercayai dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi," katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, anggota polis cuba mengejar lelaki yang berasal dari Pos Tohoi itu sejurus kejadian dan kemudian menggerakkan operasi mengesannya selama tiga jam.

"Keesokan harinya (Selasa), kita (polis) dimaklumkan penduduk kampung ada terserempak dengan suspek dan dia meminta tolong (orang awam) supaya memotong gari di kedua-dua tangannya tetapi mereka takut berbuat demikian.

"Suspek kembali lari ke hutan selepas itu dan ada orang awam turut memaklumkan suspek sempat balik ke rumahnya (di Pos Tohoi) untuk mengambil makanan serta pakaian sebelum lari semula ke hutan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan rakan suspek yang berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 223 serta Seksyen 224 kanun sama kerana melarikan diri daripada tahanan dan kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!