X

Kindly register in order to view this article
!

Pasangan kekasih dalang edar dadah dicekup

Antara dadah yang dirampas dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang kekasih yang menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu, diberkas dalam satu operasi pada Rabu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, kedua-dua suspek diberkas bersama-sama dadah serta wang tunai berjumlah RM334,533 dalam operasi di dua lokasi berasingan di ibu negara.

"Kedua-dua suspek berumur 35 dan 19 tahun itu diberkas dalam kenderaan jenis Toyota Vios di tempat letak kereta sebuah residensi Jalan Metro Pudu di sini menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, polis merampas dadah yang disyaki MDMA seberat 0.46 kilogram dan cecair MDMA sebanyak 1.8 liter. Turut dirampas ialah wang tunai sebanyak RM650," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, serbuan berikutnya dilakukan di sebuah residensi di Taman Mastiara di sini.

"Polis merampas dadah yang disyaki ketamin seberat 5.19 kilogram, serbuk MDMA seberat 0.33 kilogram, 11.25 liter cecair MDMA, 52 biji pil ekstasi dan 34 biji pil eramin-5.

"Siasatan awal mendapati rumah tersebut telah disewa selama empat bulan oleh suspek dengan bayaran RM1,800 sebulan. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis ketamin, namun tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 6,124 orang pengguna.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," kata beliau.

Tambah beliau, dengan tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang aktif sejak di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!