Pukul isteri, anak kerana terganggu tangisan

Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob
Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob
A
A
A

BEAUFORT - Terganggu dengan tangisan anak yang berusia setahun, seorang lelaki mengamuk dan bertindak memukul anak serta isterinya dalam kejadian di Kampung Membakut Jaya di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek berusia 27 tahun turut bertindak mengugut bunuh dan mahu menggantung isterinya.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh isterinya berusia 23 tahun di Balai Polis Membakut pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat pertengkaran antara mangsa dan suaminya.

"Kejadian berpunca daripada anak mereka menangis yang menyebabkan suspek marah kerana merasa terganggu ketika hendak tidur.

"Suspek kemudian memukul anaknya sehingga berlaku pertengkaran kerana mangsa menegur perbuatan suspek.

"Perkara itu menyebabkan suspek berang lalu mengamuk, menampar serta mengatakan mahu bunuh dan juga menggantung isterinya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Yusoff berkata, mangsa mengalami sakit di bahagian pipi kemudian dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Selepas kejadian itu, suspek keluar rumah dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.