Agong punyai kuasa autoriti panggil ahli Parlimen bersidang

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa autoriti untuk memanggil ahli Parlimen bersidang tanpa nasihat Perdana Menteri dalam tempoh darurat.

Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat, Khalid Abdul Samad berkata, Ordinan Darurat Seksyen 14 dan 15 (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa kepada Seri Paduka Baginda memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa perlu menunggu nasihat daripada Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam sehubungan itu memohon agar Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ahli Parlimen untuk kembali bersidang pada bulan hadapan.

"Jawatankuasa Tamat Darurat berpendapat Seksyen 14 dan Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh yang sesuai memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri, sekiranya Perdana Menteri lambat atau ingkar.

"Sehubungan itu, patik semua memohon Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen pada bulan Julai iaitu ketika darurat masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 serta menyelamatkan ekonomi negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah sidang Parlimen perlu dilaksanakan bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Khalid berkata, pihaknya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu atas kenyataan dan cadangan dikeluarkan.

Katanya, ini menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal bukan sahaja mengawal pandemik Covid-19, malah ekonomi negara dan perpaduan sosial.

"Parlimen bukan sahaja sebagai mekanisme semak dan imbang yang utama tetapi platform ideal bagi membincangkan cara terbaik untuk mengatasi wabak serta menangani masalah ekonomi negara," ujar beliau.